Korea Selatan minta Malaysia bantu syarikat terjejas

Yoo Myung-hee
Yoo Myung-hee
A
A
A

SEOUL - Seoul hari ini meminta Malaysia membantu syarikat Korea Selatan di Asia Tenggara yang operasinya terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tengah-tengah penularan wabak koronavirus (Covid-19), lapor agensi berita Yonhap.

Semasa persidangan video dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Yoo Myung-hee berkata, negara tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada usaha kuarantin, sebaliknya perlu mencari jalan untuk menyokong sektor ekonomi yang terjejas, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.

Malaysia menguatkuasakan PKP sejak pertengahan Mac untuk mengekang penularan Covid-19, hanya sebilangan kecil perniagaan penting dibenarkan beroperasi.

Pengilang Korea Selatan berpangkalan di Malaysia berdepan kekangan untuk memenuhi tarikh akhir atau mendapatkan bahan diperlukan.

"Negara perlu mencari jalan untuk mengekalkan rantaian bekalan global dan membenarkan golongan peniaga yang menjalankan perniagaan penting melakukan perjalanan pada masa sama tidak mengabaikan usaha kuarantin," kata Yoo.

Beliau turut meminta Malaysia mempertimbangkan untuk melonggarkan peraturan bagi menyokong firma Korea Selatan.

Terdapat kira-kira 530 syarikat Korea Selatan beroperasi di Malaysia, menurut data agensi Korea Trade-Investment Promotion.

Malaysia adalah rakan dagang ketiga terbesar Korea Selatan dalam kalangan negara Asia Tenggara. - Bernama

Artikel Berkaitan: