Jumlah rakyat Malaysia daftar dengan kedutaan di AS masih rendah

Tiada kes positif atau kematian Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia di Amerika Syarikat. Foto: Xinhua
Tiada kes positif atau kematian Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia di Amerika Syarikat. Foto: Xinhua
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 26,000 rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) termasuk 1,200 pelajar sudah mendaftar dengan Kedutaan Malaysia, namun jumlah itu masih jauh berbanding angka sebenar mengikut statistik kerajaan AS, kata duta Malaysia ke AS, Datuk Azmil Mohd Zabidi.

"Hanya 20 peratus penuntut mendaftar. Ini sebabnya kenapa kedutaan tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai jumlah rakyat Malaysia (di AS).

"Kami berharap mereka (rakyat Malaysia) yang belum mendaftar dapat mendaftar dengan kedutaan, jadi senang untuk kita menyalurkan berita penting atau maklumat terkini," katanya dalam wawancara melalui Skype dari Washington DC dengan Buletin Bernama, Jumat malam.

Dalam satu kenyataan menerusi e-mel kepada Bernama, duta itu menekankan pentingnya komunikasi melalui e-mel bagi membolehkan rakyat Malaysia memperoleh maklumat yang tepat dan memudahkan kedutaan menghubungi mereka.

Sementara itu, rakyat Malaysia di AS yang mahu pulang ke Malaysia masih boleh berbuat demikian dengan menggunakan penerbangan komersial, kata Azmil.

Pada awal Mac, kedutaan mengeluarkan nasihat, mereka yang tidak mempunyai cukup sumber kewangan atau perlindungan insurans yang komprehensif perlu pulang ke Malaysia secepat mungkin.

"Syukur, kebanyakan rakyat Malaysia ikut nasihat itu dan selamat kembali (ke Malaysia)," katanya.

Azmil berkata, kedutaan turut memantau keadaan penuntut Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Kedutaan, melalui Education Malaysia dan kerjasama Majlis Kebangsaan Pelajar Malaysia di Amerika (NAMSA) membantu ramai pelajar mendapatkan tempat tinggal selepas universiti mengarahkan mengosongkan asrama.

Ditanya cabaran dihadapi kedutaan, Azmil berkata, antaranya ialah kekurangan penutup mulut dan hidung serta sarung tangan untuk kakitangan barisan hadapan di kedutaan.

"Kami juga mendapat banyak permintaan rakyat Malaysia untuk membekalkan penutup hidung dan mulut," katanya.

Justeru Azmil berkata, pelancaran ‘Malaysia's Diplomatic Equipment Stockpile’ (MDES) oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein amat dialukan.

Di samping itu katanya, untuk mengatur pertemuan secara bersemuka dengan rakyat Malaysia yang tinggal jauh dari kedutaan atau konsulat juga antara cabaran dihadapi kedutaan.

"Jadi, kedutaan serta konsulat di New York dan Los Angeles mewujudkan talian hotline dan e-mel 24 jam selain mengemas kini maklumat melalui laman web atau media sosial," katanya.

Setakat ini menurut Azmil, tiada kes positif atau kematian Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia. - Bernama