Kerana cinta, sanggup kena tikam 13 kali

Shakur (kanan) melamar kekasihnya dalam kamar mahkamah.
A
A

MOSCOW - RUSIA. Demi cinta, seorang lelaki di Rusia memutuskan untuk memaafkan kekasihnya yang nyaris membunuhnya malah turut melamar wanita itu di kamar mahkamah.

Ketika lamaran itu dibuat, wanita terbabit sedang dibicarakan di Nizhnekams atas tuduhan menyerang teman lelakinya secara ganas.

Dia bakal berdepan hukuman penjara enam tahun jika disabit bersalah kerana menikam kekasihnya dikenali sebagai Shakur sebanyak 13 kali.

Menurut pendakwa raya, Airat Bikmurzin, mangsa bagaimanapun terselamat kerana berjaya melarikan diri ketika kejadian itu dan terpaksa dirawat di hospital selama tiga minggu.

Wanita itu turut mengaku bersalah, namun menafikan dia berniat membunuh teman lelakinya berikutan dalam keadaan tidak sedar kerana berada di bawah pengaruh alkohol.

Susulan itu, lelaki terbabit merayu kepada hakim supaya tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap kekasihnya kerana mereka sudah merancang untuk berkahwin.

Difahamkan, hakim telah menangguhkan perbicaraan tersebut. - Daily Mail