Scomi Group hutang pendahuluan RM28.44 juta

Scomi
Scomi
A
A
A

SCOMI Energy Services Bhd (SESB) menyatakan syarikat pegangannya, Scomi Group Bhd, memiliki jumlah tertunggak sebanyak RM28.44 juta sehingga 31 Dis, 2018, daripada jumlah pendahuluan RM64.33 juta yang dipinjamnya daripada SESB antara Jun 2016 dan Jun 2018.

SESB anak syarikat 65.64 peratus milik Scomi Group dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, syarikat pegangan itu tidak memenuhi jadual pembayaran seperti yang dipersetujui kecuali pembayaran tunai RM300,000 dan pindahan hartanah bernilai RM6.5 juta.

Syarikat itu berkata, perjanjian pembayaran tersebut dinyatakan dalam penyata kewangan bagi tahun yang berakhir 31 Mac 2018.

Ia juga berkata, kadar faedah bagi pendahuluan itu adalah tujuh peratus setahun dan caj bayaran lewat tidak dikenakan terhadap pendahuluan itu.

"Syarikat sedang berunding dengan Scomi Group bagi pelan pembayaran disemak semula yang tidak dipersetujui pada tarikh itu.

"Siasatan terhadap pendahuluan itu dijangka selesai pada akhir April 2019," kata SESB.

Kegagalan Scomi Group memenuhi jadual pembayaran semula yang dipersetujui akan memberi kesan kepada aliran tunai kumpulan dan keupayaannya untuk memenuhi obligasi kewangannya, kata syarikat itu.

Pada 11 Januari, lembaga pengarah SESB memulakan siasatan terhadap pendahuluan berjumlah RM64.33 juta yang diberikan kepada syarikat pegangannya, Scomi Group Bhd dan anak-anak syarikatnya.

Artikel Berkaitan:

Pendahuluan itu telah dibuat tanpa kebenaran lembaga terlebih dahulu. - Bernama