NGO pertikai tindakan kerajaan wujudkan penjara khas pesalah PKP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) mempertikaikan tindakan kerajaan mewartakan 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan bagi pesalah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Pertubuhan itu berkata, tindakan kerajaan itu seolah-olah isyarat kepada badan kehakiman supaya semua pesalah perlu dipenjarakan.

“Hak untuk menghukum adalah hak prerogatif badan kehakiman, bukannya pihak kerajaan,” kata NGO tersebut dalam satu kenyataannya hari ini.

Semalam, dilaporkan bahawa 13 akademi penjara akan dijadikan penjara sementara walaupun Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kementerian Dalam Negeri telah mewartakan 11 penjara sementara untuk menahan pesalah yang mengingkari PKP.

Katanya, penjara itu akan mula beroperasi pada 23 April.

Mengulas lanjut, EDICT berkata, penjara bukan hanya sekadar suatu binaan tetapi perlu dilengkapi dengan pusat pemeriksaan kesihatan, pengurusan uniform dan pakaian, penyediaan makanan, penyediaan ubat-ubatan untuk tahanan yang memerlukan.

Kenyataan EDICT di Facebooknya hari ini.
Kenyataan EDICT di Facebooknya hari ini.

Selain itu, penyediaan keselamatan, sistem kawalan, pengurusan pelawat, kakitangan terlatih, termasuk warden, pengangkutan dan sebagainya juga perlu diambil kira.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, EDICT mengingatkan kerajaan tiga perkara utama iaitu bertanggungjawab atas kebajikan, kesihatan dan keselamatan setiap tahanan walaupun penjara tersebut dibuat hanya untuk pesalah PKP.

“Kedua, orang yang berada dalam tahanan lebih mudah untuk mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri. Oleh itu, kakitangan penjara harus mempunyai pengetahuan dan segala yang diperlukan untuk menghadapi tingkah laku bunuh diri tahanan. Mereka juga mesti dipertanggungjawabkan bagi setiap percubaan membunuh diri oleh tahanan.

“Ketiga, kemungkinan akan ada segelintir tahanan yang bersifat agresif dan berlaku ganas. Pergaduhan boleh berlaku di dalam penjara. Kakitangan penjara harus bersedia dan mencegah pergaduhan daripada tercetus,” katanya.

EDICT juga mengingatkan kerajaan bahawa dalam kes-kes melibatkan kematian dalam tahanan, mahkamah sentiasa memberi perhatian mengenai tanggungjawab pihak penjara.