X

Kindly register in order to view this article
!

23 ditahan berpesta di kondominium

A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 23 individu ditahan dalam serbuan aktiviti ‘private party’ di sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Rajab Ahad Ismail berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menyerbu kondominium berkenaan pada jam 1.40 pagi.

“Kita telah menahan 13 lelaki dan 10 perempuan berusia dalam lingkungan 14 hingga 23 tahun. Kita turut merampas lima paket disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat empat gram dan lapan biji pil eramin 5,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Rajab berkata, hasil siasatan awal mendapati individu yang terlibat dalam ‘private party’ merupakan rakan rapat yang dijemput melalui aplikasi WhatsApp.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh lelaki dan empat perempuan positif dadah. Kesemua individu direman sehari untuk melengkapkan siasatan. Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan seksyen 15(1)(a) akta yang sama dan Peraturan 11 Peraturan – peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus