Bursa Malaysia dibuka tinggi teruskan kenaikan minggu lalu

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka tinggi pagi ini meneruskan kenaikannya pada minggu lalu dengan indeks komposit meningkat 1.19 peratus berikutan sokongan sentimen pasaran yang positif susulan prestasi kukuh di Wall Street.

Pada jam 9.15 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 16.80 mata kepada 1,424.14 daripada paras penutup 1,407.34 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks utama dibuka 4.35 mata lebih kukuh kepada 1,411.69.

Suasana pasaran bulis dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 466 berbanding hanya 85 manakala 215 kaunter tidak berubah, 1,146 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 604.98 juta saham bernilai RM238.43 juta.

Rakuten Trade berkata, Wall Street ditutup tinggi pada Jumaat berikutan harapan pembukaan semula ekonomi Amerika Syarikat (AS) lebih awal seperti yang dibayangkan oleh Presiden Donald Trump.

“Bagaimanapun, melihat daripada angka kes Covid-19 di AS yang kini hampir mencecah 800,000 dengan kes kematian melepasi 40,000 orang, kami percaya harapan Trump itu cuma angan-angan kosong sahaja dan amat berisiko.

“Bagaimanapun, kami merasakan selepas prestasi agak kukuh minggu lalu, pasaran serantau akan kembali mereda hari ini,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Malacca Securities berkata, selepas meningkat lebih daripada 5.0 peratus sepanjang dua minggu lalu, prestasi indeks utama itu telahpun mengatasi semua jangkaan di tengah-tengah sokongan institusi terpilih yang dianggapnya berlebihan memandangkan prospek ekonomi yang masih rapuh.

“Oleh itu, kami merasakan akan berlaku fasa penstabilan dalam tempoh terdekat ini dengan indeks utama berpotensi merosot kembali ke paras 1,400. Buat masa ini paras ketahanan adalah pada 1,420-1,455. sekiranya paras 1,400 gagal bertahan, paras 1,370 akan menjadi paras sokongan seterusnya,” kata firma pembrokeran itu dalam satu nota berasingan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM7.74, Tenaga meningkat 10 sen kepada RM12.80, Public Bank melonjak 12 sen kepada RM16.16, Petronas Chemicals menokok 24 sen kepada RM5.89 dan IHH Healthcare menambah lima sen kepada RM5.27.

Dalam kalangan kaunter cergas, Vortex Consolidated tidak berubah pada 8.5 sen, AirAsia X meningkat 1.5 sen kepada 9.5 sen, MCT naik 2.5 sen kepada 20 manakala AirAsia Group menokok tujuh sen kepada 85.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 126.29 mata kepada 9,901.23, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 118.99 mata kepada 10,956.51 manakala Indeks FBMT 100 menokok 122.47 mata kepada 9,779.22.

FBM 70 naik 176.38 mata kepada 11,739.96 dan FBM Ace meningkat 35.64 mata kepada 4,538.53.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.88 mata kepada 121.90, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 167.50 mata kepada 12,814.46 manakala Indeks Perladangan menambah 65.37 mata kepada 6,401.48. - Bernama