Pertikaman lidah ahli politik Bangau Oh Bangau

Gambar dari kiri: Dr Dzulkefly, Dr Adham
Gambar dari kiri: Dr Dzulkefly, Dr Adham
A
A
A

MEMASUKI fasa tiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus cemerlang memastikan usaha melandaikan lengkuk penularan pandemik koronavirus (Covid-19) tercapai dalam masa terdekat.

Hal itu dibuktikan menerusi kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mendedahkan Malaysia sekali lagi merekodkan penurunan kes positif iaitu mencatatkan angka dua digit buat kali keempat dengan jumlah kes positif sebanyak 5,389 kes setakat ini.

Lebih membanggakan, usaha keras KKM menangani penularan pandemik itu terus menerima pujian dan pengiktirafan dunia apabila Dr Noor Hisham sendiri terpilih antara tiga doktor terbaik dan paling diyakini dunia oleh stesen televisyen China, Global TV Network.Bagaimanapun, langkah proaktif kerajaan itu sedikit terjejas dek sikap dan tingkah laku segelintir pemimpin politik yang tanpa segan silu menjadikan isu Covid-19 sebagai modal berpolitik.

Terbaru, episod pertikaman lidah di antara Menteri Kesihatan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Adham Baba dan bekas penyandang jawatan itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tercetus apabila Dr Adham mendakwa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal mengawal penularan wabak Covid-19.

Dalam kenyataannya, Dr Adham menegaskan, kerajaan PH gagal mengawal penularan Covid-19 di Malaysia pada peringkat awal khususnya melibatkan kluster jemaah tabligh yang kemudiannya menjadi kluster terbesar pandemik itu di seluruh negara.“Sekiranya pentadbiran lepas berjaya mengawal penularan wabak ini dengan lebih baik ketika itu, saya percaya kes membabitkan wabak Covid-19 di Malaysia akan terdiri daripada kluster kecil sahaja,” katanya.

Dakwaan Dr Adham itu dijawab semula Dr Dzulkefly dengan meminta Ahli Parlimen Tenggara itu bertanya kepada Menteri Dalam Negeri kerajaan PH iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini merupakan Perdana Menteri kerajaan PN.

Dr Dzulkefly menegaskan, kelulusan himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada awal bulan lepas adalah di bawah bidang kuasa Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri.

“Umum mengetahui pihak bertanggungjawab beri (kelulusan) himpunan besar sama ada Thaipusam, himpunan agama Hindu di Pulau Pinang termasuk himpunan tabligh ialah Menteri Dalam Negeri iaitu Perdana Menteri kelapan pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

“Menteri Kesihatan wajar tanya kepada Perdana Menteri sekarang ini kenapa diizinkan himpunan tabligh itu atau menterinya (ketika itu) tertumpu kepada agenda lain,” katanya kepada sebuah portal berita tempatan semalam.

Dikecam warganet

Pertikaian antara pemimpin kerajaan dan pembangkang itu menimbulkan reaksi kurang senang warganet yang rata-rata mengecam tindakan kedua-dua pemimpin itu kerana disifatkan terlalu berpolitik pada saat genting negara berdepan pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi.

Selain perbalahan antara Dr Adham dan Dr Dzulkifly, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengundang kecaman warganet apabila mempertikaikan aspek penyampaian bantuan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 sebagaimana diumumkan Muhyiddin.

Bahkan, Anwar menerusi Majlis Presiden PH meminta kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan langkah yang diambil termasuk belanjawan tambahan dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

Bagi penganalisis sosiopolitik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, tindakan ahli politik bermain politik dan menyalahkan satu sama lain dalam isu menangani Covid-19 menunjukkan mentaliti mereka masih lagi berada pada kelas ketiga.

Menurutnya, adegan kebudak-budakan sebegitu perlu dihentikan serta-merta kerana ia seolah-olah akan mengulangi skrip lagu Bangau Oh Bangau sekiranya episod perbalahan berterusan.

“Sebarang usaha ahli politik meraih populariti menerusi krisis pandemik Covid-19 adalah tidak wajar dan tidak akan diterima baik rakyat Malaysia yang kini sudah cakna dalam menilai gelagat serta gerak-geri ahli politik itu sendiri.

“Bagi saya, lebih baik ahli-ahli politik sebegini stay quiet sekiranya tidak mampu mengikuti saranan stay at home oleh kerajaan sendiri bagi tidak mengeruhkan suasana politik negara.“Biar kerajaan sedia ada memberi ruang kepada kumpulan penjawat awam dan profesional membuat kerja membendung Covid-19 kerana kemampuan mereka menggalas tugas diamanahkan sememangnya teruji hingga saat ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, kesemua ahli politik baik kerajaan mahupun pembangkang perlu ada solidariti bagi menghadapi pandemik Covid-19.

“Sepatutnya pada masa ini, kita kumpulkan pandangan pakar-pakar berkaitan termasuk pemimpin daripada pembangkang mengenai bagaimana kerajaan harus menghadapi Covid-19.

“Perbincangan politik bukan lagi keutamaan, sebaliknya perbincangan soal kebajikan dan impak sosial rakyat semasa berlakunya PKP secara tuntas dan komprehensif perlu dilaksanakan secara kerap demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Matang

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian menegaskan, pemimpin kerajaan dan pembangkang perlu mempamerkan kematangan kerana krisis Covid-19 adalah kritikal dan berisiko mengancam nyawa manusia.

Menurutnya, perbalahan antara ahli politik timbul apabila sikap suka mencari kesilapan antara mereka menjadi keutamaan berbanding sikap menguar-uarkan kejayaan kerajaan. “Rakyat sangat meneliti tingkah laku dan gelagat pemimpin sama ada mereka masih mahu ambil kesempatan daripada krisis ini untuk mengukuhkan pengaruh diri sendiri, atau memberi perkhidmatan tanpa berpolitik.

“Dengan adanya platform media sosial, ia memudahkan proses penyaluran informasi. Bagaimanapun, pemimpin harus lebih berhati-hati dalam menimbulkan kontroversi kerana setiap gerak-geri mereka kini diperhatikan rakyat di sekeliling pada setiap saat.

Dalam pada itu, pakar psikologi daripada Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad mengajak semua pihak untuk tidak menjejaskan aura positif yang berjaya diwujudkan kerajaan dan KKM dalam usaha menangani rantaian penularan Covid-19 ketika ini.“Aura positif yang diusahakan kerajaan dan KKM dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19 tidak harus dijejaskan dengan sebarang perilaku negatif daripada mana-mana pihak termasuk ahli politik sendiri,” katanya.