Beri kelonggaran PKP ikut zon, kata pakar kesihatan

Walaupun kes baharu mencatat jumlah yang rendah dua hari berturut-turut namun masyarakat harus kekal patuh terhadap PKP pada fasa ketiga ini bagi menghentikan rantaian Covid-19. -Foto Bernama, gambar kecil: Dr Malina
Walaupun kes baharu mencatat jumlah yang rendah dua hari berturut-turut namun masyarakat harus kekal patuh terhadap PKP pada fasa ketiga ini bagi menghentikan rantaian Covid-19. -Foto Bernama, gambar kecil: Dr Malina
A
A
A

SHAH ALAM - Graf kes baharu positif koronavirus (Covid-19) di Malaysia mula menunjukkan penurunan dengan banyak lokasi tertentu di seluruh negara tidak lagi mencatatkan kes jangkitan dalam tempoh beberapa hari lalu.

Secara idealnya, apabila kes jangkitan mencapai sifar untuk tempoh selama 14 hari berturut-turut, maka kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dipertimbangkan.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, berdasarkan situasi semasa di Malaysia adalah sukar bagi mencapai ketiadaan kes secara menyeluruh dalam tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kelonggaran PKP dilakukan mengikut lokaliti atau zon.

“Pergerakan hanya dibenarkan di dalam kawasan berkenaan secara berperingkat dengan penerusan langkah pencegahan iaitu penjarakkan fizikal, kebersihan tangan dan mengelakkan kesesakan yang tidak perlu. “Pembukaan tempat atau kemudahan awam boleh dimulakan dengan premis perniagaan, pejabat dan taman rekreasi. Kemudian diikuti kemudahan tempat beribadah dan sekolah.

“Akhir sekali untuk sebarang acara kemasyarakatan di tempat awam dan persendirian, tetapi keramaian membabitkan sejumlah penduduk perlu mendapatkan kebenaran,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, bagi memastikan zon yang sudah dikenal pasti itu bebas kes jangkitan selama 14 hari berturut-turut, penduduk setempat perlu meneruskan komitmen mengamalkan langkah pencegahan.

Menurutnya, pintu masuk dan keluar di kawasan tersebut dikawal ketat supaya tidak berpotensi mencetuskan kluster baharu.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa yang sama, gerakan untuk memperluaskan lagi zon bebas kes perlu dilakukan.Untuk tempoh jangka masa panjang, penduduk perlu mengamalkan cara hidup yang sedikit berbeza daripada sebelum ini.

“Contohnya, menghentikan sementara amalan berjabat tangan sehingga kita disahkan selamat untuk berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Malina berkata, saringan secara besar-besaran digalakkan sekiranya berkemampuan selain kajian setempat untuk mengetahui seroprevalensi (faktor risiko penularan) bagi tujuan pemantauan.