X

Kindly register in order to view this article
!

Tauke arnab panggang tukar strategi perniagaan

Arnab panggang yang sebelum ini dijual di bazar Ramadan pernah tular dan mendapat permintaan tinggi.
A
A

SETIU - 'Sebelum ini saya berniaga di bazar Ramadan, kali ini saya terpaksa tukar strategi dengan berniaga di rumah selain buat COD, kata peniaga arnab panggang viral, Mohd Ebbie Shafiran Zahari, 30.

Beliau yang sebelum ini berniaga di Bazar Ramadan Kampung Guntung Luar, di sini berkata, arnab panggang yang dijual juga akan hanya dibuat berdasarkan tempahan dan dipromosikan menerusi laman sosial Facebook dan pesanan mudah alih, WhatsApp.

"Walaupun stok bekalan sekarang lebih mudah diperoleh, saya hanya akan buat arnab panggang berdasarkan tempahan yang diterima.

"Ia bagi mengelakkan berlakunya lebihan dan dalam masa yang sama saya boleh habiskan jualan segera tanpa perlu menunggu lama.

"Bagaimanapun saya tidak mengehadkan berapa banyak tempahan yang akan diterima dalam sehari sepanjang Ramadan ini," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kaedah jualan COD juga akan dilakukan bagi kawasan yang meliputi jarak 10 kilometer (km) sahaja.

"Disebabkan pergerakan yang terhad, saya juga akan cuba buat COD, tetapi hanya dalam lingkungan jarak 10km sahaja, tidak lebih dari itu.

"Mana-mana yang tinggal berhampiran rumah saya juga boleh datang untuk ambil arnab panggang yang ditempah di rumah," katanya

Dalam pada itu, katanya, harga arnab panggang yang dijualnya itu juga sama seperti tahun sebelum ini iaitu RM65 untuk seekor dan RM35 untuk separuh.

"Harga sama seperti sebelum ini, saiz arnab juga sama sebab saya akan cuba ambil bekalan arnab yang mempunyai saiz standard untuk dijual sepanjang Ramadan nanti," katanya.

Terdahulu, arnab panggang yang dijual di bazar Ramadan itu pernah tular dan mendapat permintaan tinggi sehingga ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan juadah itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!