Ibu bapa patut jadi ustaz, ustazah di rumah

Zamri Hashim
Zamri Hashim
A
A
A

IPOH - Ibu bapa disaran mengambil alih tugas ustaz dan ustazah kepada anak-anak di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, selama ini kebanyakan ibu bapa menyerahkan tugas berkenaan kepada guru walaupun untuk perkara-perkara yang asas dalam agama.

"Semasa menjalani perintah PKP, ibu bapa sewajibnya menjadi guru, murobbi, muaddib, muallim dan mursyid kepada anak-anak.

"Ini kerana ibu bapa juga akan melalui 'peperiksaan' dan penilaian ALLAH terhadap kemenjadian anak mereka khususnya dalam penghayatan al-Quran dan fardu ain," katanya.

Beliau berkata, berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19), kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah mengumumkan pembatalan beberapa peperiksaan besar termasuklah Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) yang dijadualkan pada 28 September hingga 1 Oktober depan.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung telah mengembalikan tugas yang selama ini ramai ibu bapa serahkan kepada pendidik mengajar anak-anak mereka subjek UPKK.

"Mata pelajaran yang diajar di dalam sukatan UPKK adalah perkara-perkara asas dan pokok, dalam membentuk kemenjadian seseorang anak menjadi seorang muslim atau muslimah yang beramal dengan ajaran Islam.

"Sepertimana disebutkan dalam surah al Tuur ayat 21: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya," katanya.

Artikel Berkaitan: