Lapan negeri catat sifar kes baharu Covid-19

Anggota polis bersama anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memeriksa kenderaan dalam sebuah sekatan jalan raya. -Foto Bernama
Anggota polis bersama anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memeriksa kenderaan dalam sebuah sekatan jalan raya. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak lapan buah negeri mencatatkan sifar kes positif baharu wabak koronavirus (Covid-19) semalam.

Negeri terbabit ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Jumlah sama turut direkodkan kelmarin, bagaimanapun berlaku perubahan negeri yang mencatatkan sifar kes positif pandemik itu.

Lapan negeri yang mencatatkan sifar kes kelmarin ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kelantan.

Bagaimanapun, Melaka semalam merekodkan jumlah kes positif tertinggi iaitu sebanyak 37 kes apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu melibatkan kumpulan pelajar Malaysia yang pulang dari Magetan, Jawa, Indonesia.

Hal sama turut berlaku bagi kawasan Wilayah Persekutuan Putrajaya apabila keseluruhan 43 pelajar dari Indonesia yang dikesan positif itu, sembilan daripada mereka dikuarantin di Putrajaya.Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar di sini semalam memaklumkan sebanyak 84 kes baharu direkodkan semalam.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 5,389 kes.

Setakat jam 12 tengah hari 18 April 2020, terdapat 19 Zon Hijau di Semenanjung manakala 17 Zon Hijau di Sarawak dan 11 Zon Hijau di Sabah.

Artikel Berkaitan:

Kuala Lumpur merupakan satu-satunya wilayah di mana semua empat zonnya masih berada dalam Zon Merah.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Zon Hijau yang tidak merekodkan sebarang kes jangkitan Covid-19 boleh diberi kelonggaran daripada dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun keputusan tersebut mesti dibuat secara teliti selain memastikan ia benar-benar bebas daripada wabak itu.