Beza polis dengan Superman

A
A
A

SIAPA tidak kenal Superman. Superman ialah adiwira yang kebal, boleh terbang di angkasa, mempunyai kekuatan yang luar biasa serta kelajuan yang amat pantas. Dengan keupayaan luar biasa ini, Superman dilihat sebagai hero yang membantu melindungi orang ramai dan menjaga ketenteraman awam.

Dalam dunia fiksyen, pelbagai watak adiwira ditampilkan sebagai pelindung masyarakat daripada ancaman penjenayah. Kita juga dihidangkan dengan pelbagai siri televisyen dan filem, sama ada tempatan mahupun luar negara, berkaitan kehebatan polis menyelesaikan kes-kes jenayah. Mereka sering terselamat dalam insiden tembak-menembak atau pergaduhan di kaca televisyen.

Kadangkala kita lupa bahawa anggota polis juga manusia biasa. Mereka juga sakit, demam, dan mati, bila sampai waktunya. Mereka juga perlu tidur walaupun kebanyakan polis yang saya kenal biasanya tidak cukup tidur atau rehat.

Anggota polis juga tidak kebal seperti Superman yang kalis peluru. Mereka tetap cedera jika terkena tembakan. Polis mempunyai risiko lebih terdedah kepada kecederaan dan ancaman berbanding orang awam apatah lagi sekiranya terlibat dalam operasi mencegah atau memburu penjenayah. Risiko semakin tinggi jika melibatkan kes bunuh dan jenayah berat.

Dalam keadaan wabak Covid-19 sedang menular kini, polis perlu menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mengendalikan sekatan jalan raya tanpa mengambil kira keadaan cuaca. Pada masa yang sama, mereka juga perlu mengendalikan kes-kes jenayah yang walaupun berkurang tetapi masih ada.

Sebagai contoh, baru-baru ini, sekitar jam 11 malam, pejabat Macma Kelantan di Taman Maju, Kota Bharu telah diceroboh. Dua lelaki bertopeng muka telah memecah masuk ke kawasan pejabat, mengalihkan kamera litar tertutup, dan memecahkan pintu bilik kelas pengajian. Mereka melarikan diri apabila loceng amaran berbunyi. Kami di pihak Macma telah menghubungi Balai Polis Kota Bharu dan dalam masa lima minit pihak polis sudah berada di pejabat kami.

Yang mengagumkan, bukan sahaja kereta peronda yang tiba tetapi Ketua Polis Balai, Asisten Superintendan Hasbullah, turut bersama pegawainya. Memang saya tabik kepada beliau yang sering turun padang. Tidak lama selepas itu, pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah pula tiba. Selepas melakukan siasatan dan sebagainya, walaupun sudah melewati tengah malam, mereka masih bekerja.

Terlintas di hati saya, jika kedua-dua suspek masih ada ketika itu, pasti ada adegan kejar-mengejar dan mungkin berlaku tangkapan. Bagaimana jika salah seorang suspek tersebut merupakan pembawa virus Covid-19? Takkanlah semua pegawai polis perlu memakai sut perlindungan (PPE) sebagaimana petugas kesihatan? Bagaimana pula hendak mengejar penjenayah dengan berpakaian sebegitu?

Artikel Berkaitan:

Rasanya jarang kita dengar suspek jenayah menghulurkan kedua-dua tangan dengan lemah lembut untuk digari oleh polis. Yang meludah dan mencakar memang ada. Tiada istilah penjarakan sosial. Insiden seperti ini menyebabkan anggota polis juga terdedah kepada pelbagai jenis penyakit berjangkit. Data pada 8 April 2020 menunjukkan 66 anggota polis positif Covid-19 manakala 1,255 lagi sedang menjalani kuarantin. Sekarang mungkin angkanya sudah bertambah.

Kerjaya sebagai polis sememangnya berisiko tinggi. Maka, walaupun manusia biasa, mereka harus menjadi Superman dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Sebaik sahaja menyarung pakaian seragam polis, nyawa mereka sudah menjadi pertaruhan.

Semoga semua anggota polis sentiasa dirahmati dan dilindungi ALLAH SWT. Polis dan masyarakat berpisah tiada.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan.