Cakna demi pembangunan industri

A
A
A

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merupakan pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dan meningkatkan status negara ini sebagai sebuah negara perdagangan yang kompetitif di peringkat global.

Objektif dan peranannya adalah berorientasikan ke arah memastikan pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia dan membantu mencapai matlamat yang dinyatakan di negara ini untuk menjadi sebuah negara maju.

Koronavirus (Covid-19) yang melanda kini tidak harus merencatkan keseluruhan pertumbuhan industri ini. Wabak ini tidak semestinya menjejaskan urusan penting yang banyak menyumbang kepada produktiviti negara.

Dalam kita menangani penyebaran wabak ini dengan duduk di rumah, tetapi kita perlu proaktif dan melihat jauh agar Covid-19 tidak menjejaskan ekonomi dan daya saing negara.

Sehubungan itu, MITI menegaskan bahawa industri atau kilang yang mendapat kelulusannya dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 hingga 31 Mac 2020.

Namun, syarikat berkenaan mesti memohon kelulusan khas untuk meneruskan operasi masing-masing semasa tempoh PKP. Pihak MITI juga hanya memberi kebenaran kepada syarikat berkenaan beroperasi pada tahap 50 peratus dalam tempoh PKP. Ini kerana MITI masih lagi melaksanakan jarak sosial dan mengelak daripada berlaku kesesakan di tempat kerja.

Ini jelas menunjukkan MITI cakna dan prihatin dalam situasi di mana mesin dan peralatan kilang perlu terus beroperasi atas sebab teknikal manakala kilang boleh meneruskan operasi mesin tersebut dengan pengawasan juruteknik yang minimum.

MITI juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memantau aktiviti industri yang wajib patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

MITI juga memastikan kebenaran beroperasi ini tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan.

Pematuhan itu adalah seiring dengan akujanji yang dipersetujui syarikat ketika mereka membuat permohonan untuk meneruskan operasi sepanjang PKP

Sehubungan itu, syarikat yang mendapat kebenaran perlu mengemukakan senarai pekerja yang terbabit ketika tempoh PKP bagi memastikan pergerakan pekerja terbabit hanya terhad dari rumah ke kilang/premis sahaja.

Setiap kelulusan yang dikeluarkan MITI adalah tertakluk kepada garis panduan ketat ditetapkan oleh KKM bagi membendung penularan Covid-19.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan beberapa sektor ekonomi tambahan terpilih yang dibenarkan beroperasi ketika PKP fasa ketiga.

Antaranya industri automotif, mesin dan peralatan, aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional berdaftar, kedai hardware, barangan elektrik dan elektronik serta perkhidmatan dobi (bukan layan diri).

Sesungguhnya Covid-19 telah merubah paradigm budaya kerja dan tindakan. Namun kita mestilah mengutamakan produktiviti agar pembangunan industri terus beroperasi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.