Pasukan China bukan datang merawat, tapi bantu lawan Covid-19

Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kedatangan pasukan pakar perunding perubatan China ke negara ini bukan untuk merawat pesakit wabak koronavirus (Covid-19) tetapi membantu Malaysia melawan virus baharu itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerjasama itu akan memberi fokus kepada perbincangan dalam konteks rawatan dan penyelidikan.

"Masing-masing ada pengalaman (China) dan tidak ada (Malaysia), tetapi apa ada pada mereka (China) adalah pengalaman, sama ada ia berjaya atau tidak. Kedua-dua itu penting untuk kita (sebagai pengalaman).

"Kalau berjaya mungkin kita akan teruskan usaha menggunakan kaedah mereka tetapi jika gagal, kita belajar cara mereka melaksanakan usaha itu.

"Kalau tidak berjaya, kita jangan ulangi kesilapan mereka dan kaedah yang gagal dilakukan," katanya pada sidang akhbar di KKM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, paling penting ketika ini ialah Malaysia perlu mempelajari usaha atau kaedah untuk melawan pandemik tersebut.

Ini kerana katanya, pasukan yang terdiri daripada lapan pakar perubatan pelbagai bidang itu mempunyai pengalaman melawan wabak yang dikatakan berasal dari Wuhan, China.

"Cara kita berdiskusi itu penting dan dapat menambah pengetahuan mengenai virus ini.

Artikel Berkaitan:

"Pengalaman itu penting sama ada negatif atau positif. Kita boleh belajar daripada pengalaman mereka," katanya.