X

Kindly register in order to view this article
!

Ketua Narkotik Kota Setar meninggal dunia

Kemalangan di persimpangan lampu isyarat yang menyaksikan ASP Aldrin anak Gonda maut kira-kira jam 11.30 pagi tadi. FOTO PEMBACA (Gambar kecil:Mendiang Aldrin Gonda)
A
A

ALOR SETAR - Ketua Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika sedang bertugas membantu pasukan polis dalam Ops Covid-19.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi tadi di Lampu isyarat Arkib Negara, Jalan Mentaloon itu mengakibatkan mangsa Asisten Superintenden Aldrin Gonda meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, ketika kejadian kereta yang dinaiki pegawai polis berusia 38 tahun bersama dua lagi anggota konstabel dari arah Kanchut menghala ke arah Pantai Johor selepas menerima makluman untuk melakukan satu tangkapan di Pantai Johor.

"Bagaimanapun, kereta berkenaan terbabas di lampu isyarat tersebut selepas mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba mengubah haluan dari lorong kiri ke arah lorong kanan.

"Kemalangan menyebabkan mendiang meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi anggota dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar," katanya kepada media ketika ditemui di Unit Forensik HSB, dekat sini.

Kedua-dua anggota masing-masing berusia 26 tahun mengalami kecederaan di kepala dan kaki.

Menurut Rozi, PDRM kehilangan seorang anggota yang berdedikasi kerana mendiang sentiasa komited sepanjang bertugas di IPD Kota Setar sejak tiga tahun lalu.

"Sekarang kita sedang mengesan motosikal tersebut dan difahamkan kejadian tersebut berlaku sangat pantas.

Ada saksi yang melihat motosikal membelok dari kiri ke kanan dan menghilang selepas kejadian itu berlaku. Saya minta pemilik motosikal itu tampil untuk membantu siasatan kes ini," katanya.

Tambahnya, mendiang meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia 6 tahun dan pihaknya akan berusaha menghantar jenazah mendiang pulang ke Serian, Sarawak selepas segala urusan selesai.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!