Aman Central hargai pengorbanan barisan hadapan

Ken (kanan) ketika mengagihkan sumbangan kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan.
Ken (kanan) ketika mengagihkan sumbangan kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan.
A
A
A

ALOR SETAR - Aman Central menyumbangkan makanan dan peralatan keperluan harian kepada barisan hadapan negara yang bekerja keras dalam menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengurus Kanan, Komunikasi Pemasaran Aman Central, Ken Chin berkata, pihaknya turut terpanggil untuk menyumbang peralatan diperlukan kepada petugas barisan hadapan yang memerlukan sokongan moral dan motivasi berterusan.

Menurutnya, Aman Central dan penyewanya bekerjasama menyumbangkan 150 set makanan sihat dan peralatan keperluan harian kepada barisan hadapan antaranya polis dan perkhidmatan penghantaran makanan sebagai tanda penghargaan.

“Ketika ramai antara kita berada di rumah menonton televisyen bersama keluarga atau bekerja selesa dari kediaman masing-masing, barisan hadapan pula tidak tidur dan bekerja tanpa lelah untuk bendung penularan Covid-19.

"Inisiatif ini selari dengan komitmen syarikat untuk menghargai pengorbanan mereka dan memastikan petugas barisan hadapan sentiasa bersemangat dan bermotivasi, ketika bekerja dalam situasi kritikal ini,” katanya.

Penghantar makanan turut dihargai apabila menerima pek makanan sihat dan peralatan keperluan harian.
Penghantar makanan turut dihargai apabila menerima pek makanan sihat dan peralatan keperluan harian.

Ken berkata, penyewa yang terlibat dalam program sumbangan itu termasuk OISO, The Alley, iMax dan House California yang menyediakan nasi goreng Korea dengan ayam goreng, beg kalis air, aksesori telefon bimbit serta minuman untuk menaikkan semangat mereka.

“Usaha kami kecil berbanding dengan apa yang mereka hadapi setiap hari. Aman Central memberi sokongan kepada mereka dan turut berikan keperluan lain seperti topeng muka, cecair pembersih tangan serta sarung tangan kepada hero tidak didendang ini, kerana mempertaruhkan nyawa bekerja sepanjang krisis ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pandemik Covid-19 itu mendorong banyak pihak tampil membantu menangani krisis dengan menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik selain menyatukan organisasi dari pelbagai industri dan sektor termasuk individu.

“Kami harap dapat ringankan beban petugas hadapan dengan cara kami tersendiri. Kepada rakyat Malaysia, kami ingin mengingatkan anda agar kekal di rumah dan amalkan penjarakan sosial untuk elakkan jangkitan Covid-19. Kita boleh lakukan!" katanya.

Ken turut berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan atas dedikasi dan pengorbanan berterusan dalam memerangi Covid-19.

“Anda semua adalah wira negara dan menjadi sebahagian daripada sejarah negara kita," katanya.