Selepas kereta kena pecah, wang simpanan dalam bank lesap

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLUANG - Ibu kepada seorang wanita berusia 36 tahun kerugian RM5,000 apabila wang di dalam akaun miliknya dikeluarkan individu tidak dikenali melalui mesin juruwang automatik (ATM) setelah kad ATM miliknya hilang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata wanita berkenaan membuat laporan polis sekitar pukul 11 malam tadi dengan mengatakan kad ATMnya hilang selepas cermin tingkap kenderaan Toyota Estima miliknya dipecahkan.

Beliau berkata selain kad ATM ibunya itu, wanita tersebut mendapati beberapa barangan seperti buku bank, alat smart tag dan beg sekolah anaknya turut hilang.

“Wanita tersebut menyatakan meletakkan keretanya itu pada 8 pagi semalam di Jalan Haji Abu Aziz Awab, Kluang Baru, di sini, untuk ke salon mendandan rambut dan apabila kembali ke keretanya kira-kira 11 malam, dia mendapati cermin tingkap bahagian penumpang depan sudah pecah lalu membuat laporan polis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Abduh berkata wanita tersebut turut memaklumkan bahawa pihak bank menyatakan terdapatnya transaksi pengeluaran wang tunai di mesin ATM daripada akaun ibunya, namun tidak dimaklumkan lokasi pengeluaran wang tersebut.

Menurutnya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu terlibat kejadian itu termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak bank.

Beliau berkata siasatan awal mempercayai suspek mampu mengeluarkan wang tersebut kerana nombor pin kad ATM berkenaan mungkin tercatat di mana-mana kertas di dalam kereta atau buku bank.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kerjasama daripada orang ramai turut diperlukan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran sekiranya mengetahui kejadian itu.- Bernama

Artikel Berkaitan: