JPNP tahan tiga pelombong emas haram

Lokasi lombong emas haram di Hutan Simpan Aur Gading, Lipis yang diserbu anggota penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah Lipis, kelmarin.
Lokasi lombong emas haram di Hutan Simpan Aur Gading, Lipis yang diserbu anggota penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah Lipis, kelmarin.
A
A
A

KUALA LIPIS - Tiga lelaki termasuk dua warga Indonesia ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti melombong emas secara haram di Kompartmen 11, Hutan Simpan Aur Gading, di sini kelmarin.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kesemua mereka yang berusia 46 dan 47 tahun itu dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, susulan penahanan itu, pihaknya menyita pam menyedut air, palong emas, enjin kuasa elektrik, motosikal dan dua jengkaut.

"Siasatan mendapati kumpulan berkenaan memiliki kemahiran tinggi mencari gali emas dan kita tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain yang mendalangi kegiatan haram ini," katanya.

Dr Mohd Hizamri berkata, kejayaan tangkapan itu hasil rondaan pencegahan 10 anggota penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah Lipis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi panas di daerah berkenaan.

Menurutnya, Hutan Simpan Aur Gading antara kawasan panas yang sentiasa menjadi tumpuan pelombong emas haram sama ada berseorangan atau berkumpulan.

"Ada di antara mereka membuka lombong baharu dan terdapat juga individu yang melombong di tapak perlombongan lama.

"Kita dapati pelombong haram ini mengambil kesempatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menceroboh hutan simpan kerana mungkin yakin kegiatan haram yang dilakukan itu tidak akan dikesan pihak berkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, anggota penguat kuasa JPNP di daerah dan negeri tetap meneruskan aktiviti rondaan dan pemantauan sepanjang PKP terutama membabitkan kawasan panas seluruh negeri.

"Hasilnya, lima kes lombong emas haram berjaya dikesan di Muadzam Shah, Rompin, Raub dan Lipis, setakat ini. Mereka yang ditahan akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,"katanya.

Dr Mohd Hizamri berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan haram di hutan simpan boleh membuat aduan kepada Pejabat Hutan Daerah atau JPNP untuk tindakan lanjut.

"Kerjasama yang diberikan dapat membendung kemusnahan hutan selain kerugian kepada kerajaan negeri," katanya.