'Dia tampar polis, terjerit-jerit macam orang gila'

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Majistret di sini, hari ini bahawa beliau mengingati wajah Datuk Farid Kamil Zahari berikutan tindakan berani pelakon dan pengarah itu menampar anggota polis trafik di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 11 Jan 2018.

Wong Kok Keong, 36, saksi pendakwaan keempat berkata, insiden yang berlaku itu merupakan yang pertama kali dilihat sepanjang hidupnya, membabitkan orang awam menampar anggota polis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran, ketika disoal sama ada saksi itu mengenali dan mengingati pelakon utama Lagenda Budak Setan itu.

Menurut Wong, ketika itu beliau terdengar dua lelaki bergaduh sebelum melihat Farid Kamil bertindak menampar orang awam (Ashraf Ahmad) yang juga saksi pendakwaan pertama dengan kuat dan kemudian melakukan perbuatan sama terhadap anggota polis trafik di kaunter pertanyaan.

"Saya melihat anggota polis itu ditampar Farid Kamil kerana beliau mahu menenangkan kedua-dua lelaki yang sedang bergaduh."Ketika itu, saya melihat Farid Kamil terjerit-jerit seperti orang gila dan dalam masa sama keadaannya seperti tidak sedar dan tidak betul," katanya.

Ditanya di bahagian manakah muka kedua-dua mangsa yang ditampar Farid Kamil itu, saksi itu yang merupakan pemilik perniagaan perkhidmatan pengebumian berkata: 'tidak ingat'.

Dalam keterangan di mahkamah sebelum ini, Ashraf, 35, memberitahu bahawa beliau membawa Farid Kamil ke balai trafik untuk membuat laporan polis kerana diminta oleh pelakon itu yang mendakwa dirinya kemalangan.

Kok Keong berkata beliau ke balai polis trafik itu pada 12 tengah hari, 11 Januari tahun lepas untuk memeriksa saman kenderaan milikinya sebelum dua lelaki (Ashraf Ahmad dan Farid Kamil ) masuk ke dalam balai polis sama.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu, saya sedang duduk di kerusi berdekatan kaunter pertanyaan untuk menunggu giliran bagi memeriksa saman, tapi kerana kejadian itu saya tidak sempat untuk melakukan urusan," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil.

Menjawab soalan peguam mengenai situasi kejadian itu, beliau berkata ada beberapa perkara yang diingat dengan jelas namun selebihnya tidak dapat diingat kerana kejadian itu berlaku setahun lepas.

Pada 16 Januari tahun lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham bersambung esok.- Bernama