Bantuan Am bulanan OKU dinaikkan

A
A

SEREMBAN - Bantuan Am terhadap seramai 2,490 golongan orang kelainan upaya (OKU) di Negeri Sembilan dinaikkan kepada maksimum RM270 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Nicole Tan Lee Koon berkata bayaran tersebut akan mula dibayar pada bulan hadapan.

“Terdapat tiga kategori di bawah Bantuan Am untuk golongan OKU di mana untuk kategori OKU fizikal, bantuan bulanan dinaikkan kepada RM200 berbanding RM140.

“Manakala OKU pelbagai, dinaikkan dari RM200 kepada RM270 dan bagi kategori terlantar yang dijaga keluarga, Bantuan Am yang diterima kekal pada kadar RM270,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lee Koon berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.79 juta untuk menampung kenaikan tambahan bayaran bantuan ini.

“Pada masa hadapan, saya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memperluaskan kenaikan Bantuan Am kepada kategori lain seperti ibu tunggal dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Lee Koon berkata kerajaan negeri tidak boleh menghalang kenaikan yuran taska di negeri ini kerana memahami beban kos pelbagai yang perlu ditanggung pengusaha taska.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak di negeri ini, dan mereka telah menjelaskan keperluan untuk dinaikkan yuran bulanan kerana perlu menanggung gaji minimum yang ditetapkan kerajaan, sewa premis dan kos operasi,” katanya. -Bernama