23 kematian akibat denggi sejak Januari di Selangor

Semburan asap digunakan untuk membasmi nyamuk aedes. ( Gambar kecil: Dr Siti Mariah Mahmud)
Semburan asap digunakan untuk membasmi nyamuk aedes. ( Gambar kecil: Dr Siti Mariah Mahmud)
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor mencatatkan sebanyak 22,180 kes demam denggi dengan 23 kematian bagi minggu epid-15 bermula sejak 1 Januari hingga 12 April lalu.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, bagi tempoh sama pada tahun lalu, sebanyak 23,323 kes demam denggi dicatatkan dengan 19 kes kematian.

Beliau berkata, berdasarkan perbandingan dibuat, terdapat penurunan kes demam denggi untuk tempoh berkenaan sebanyak 4.9 peratus, namun kes kematian dilihat menunjukkan peningkatan sebanyak 21.05 peratus.

"Terdapat dua kes kematian dilaporkan pada minggu epid ke-15 ini iaitu di daerah Klang dan Petaling.

"Lokaliti wabak yang mencatatkan kes tertinggi sejak Januari sehingga 12 April 2020 adalah daerah Petaling iaitu sebanyak 7,372 kes, diikuti Klang 4,582 kes dan seterusnya Hulu Langat 3,709 kes.

"Lokaliti wabak yang mencatatkan kes terendah pula adalah di daerah Sabak Bernam dengan 69 kes bagi tempoh sama," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Siti Mariah berkata, kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM5 juta bagi melaksanakan program pencegahan denggi di seluruh negeri itu berbanding RM3 juta pada tahun lalu.

Menurutnya, berikutan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini, operasi kawalan denggi akan dihadkan kepada aktiviti yang mengurangkan kontak (social distancing) bersama masyarakat seperti lavasiding di pekarangan kawasan wabak dan hotspot.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun pembiakan nyamuk tetap akan berlaku di persekitaran kediaman dan kesedaran awam tentang bahaya denggi masih di peringkat membimbangkan," katanya.

Justeru, beliau minta penduduk Selangor sentiasa mengambil langkah pencegahan sewajarnya dan dapat sama-sama memastikan wabak itu tidak menular.

"Kesedaran tentang bahaya wabak kepada masyarakat sekeliling adalah tanggungjawab kita bersama," katanya.