Henti beri kebenaran kepada kilang kayu

Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) akan mula beroperasi hari ini setelah mendapat kelulusan untuk beroperasi dalam tempoh PKP. Gambar kecil: Shariffa Sabrina (kiri) dan Meor Razak Meor Abdul Rahman
Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) akan mula beroperasi hari ini setelah mendapat kelulusan untuk beroperasi dalam tempoh PKP. Gambar kecil: Shariffa Sabrina (kiri) dan Meor Razak Meor Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) membidas kerajaan yang memberi kebenaran kepada kilang industri berasaskan kayu untuk beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga.

Industri berkenaan bukan satu perkhidmatan yang perlu (essential) selain membuka ruang untuk berlaku pembalakan tanpa kawalan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, peka keadaan yang boleh memudaratkan alam sekitar dan berharap kerajaan menarik balik kebenaran kilang berasaskan kayu beroperasi kerana dikhuatiri ada yang mengambil kesempatan melakukan pembalakan.

“Dalam situasi sekarang juga kita tidak tahu keupayaan pasukan penguat kuasa untuk melakukan pemantauan terhadap kayu yang diambil,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Jabatan Perhutanan Perak menyita tujuh mesin kilang perabot selepas didapati beroperasi tanpa lesen yang sah di bawah Enakmen Industri Berasaskan Kayu meskipun mempunyai kebenaran beroperasi dalam tempoh PKP.

Kegiatan itu dikesan dalam pemeriksaan pasukan Operasi dan Penguatkuasaan Hutan bersama Pejabat Hutan Daerah Kinta/ Manjung ke atas kilang-kilang industri berasaskan kayu yang mendapat kelulusan khas dari Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

ARTIKEL BERKAITAN: Mesin kilang perabot kena sita

Semalam pula, kilang papan lapis di Terengganu, Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) yang juga anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB) mengumumkan akan mula beroperasi hari ini setelah mendapat kelulusan untuk beroperasi dalam tempoh PKP fasa ketiga ini.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Bertugas PPSB, Ahmad Bazli Razali menerusi satu kenyataan berkata, kelulusan itu diperoleh selepas permohonan dikemukakan melalui Lembaga Industri Kayu Malaysia (MTIB) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina menegaskan kebenaran untuk beroperasi bagi sektor non-essential itu perlu ditangguhkan.

“Dari segi profesionalisme tidak wajar kilang berasaskan kayu ini meneruskan operasi ketika ini dan ia juga tidak adil kepada sektor-sektor ‘non-essential’ yang lain.

“Selain itu, pekerja kilang ini juga terdedah dengan jangkitan Covid-19 walaupun hanya 50 peratus pekerja dibenarkan bekerja,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, mana-mana sektor yang non-essential tidak wajar beroperasi ketika ini kerana ia akan mengganggu usaha kerajaan menyekat penularan Covid-19.

“Kalau satu kilang papan dibenarkan beroperasi, kilang lain akan memohon juga sedangkan mereka bukan sektor melibatkan kepentingan awam.

“Kita juga tahu industri kayu bukan menggunakan tenaga kerja yang sedikit selain keadaan persekitaran yang rencam. Jadi operasinya tidak boleh dibenarkan dalam keadaan sekarang,” katanya.