Sistem perbankan Malaysia kukuh

Bank-bank di Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong aktiviti pemberian pinjaman, moratorium dan sumbangan kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan. Gambar kecil: Tengku Zafrul
Bank-bank di Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong aktiviti pemberian pinjaman, moratorium dan sumbangan kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan. Gambar kecil: Tengku Zafrul
A
A
A

PUTRAJAYA - Sistem perbankan negara mempunyai ketahanan yang terbaik dan kemampanan modal untuk mengharungi krisis ekonomi yang berpunca daripada pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada masa kini ekosistem kewangan negara mempunyai sebanyak RM121 bilion kemampanan modal (capital buffer) berlebihan iaitu tiga kali ganda penampan berbanding hanya RM39 bilion ketika krisis kewangan global pada tahun 2008-2009.

“Nisbah Perlindungan Mudah Tunai industri perbankan adalah pada kadar 148 peratus jauh melebihi keperluan minimum 100 peratus.

“Kita harus berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan kerana mengamalkan pengurusan risiko yang mantap dan berhemat.

“Ini meletakkan bank-bank di Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong aktiviti pemberian pinjaman, moratorium dan sumbangan kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

“Amalan perbankan yang berhemat ini perlu diteruskan,” katanya menerusi satu wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad di sini semalam.

Menurutnya, institusi perbankan dan kewangan sedang memainkan peranan yang amat penting bagi merealisasikan hasrat kerajaan di bawah Pakej Prihatin iaitu untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi.

“Antara sumbangan besar industri kewangan terhadap pakej rangsangan ekonomi adalah moratorium pembayaran balik pinjaman selama enam bulan bermula 1 April.

Artikel Berkaitan:

“Langkah ini melibatkan sejumlah RM100 bilion dan ia diharap dapat melancarkan aliran tunai untuk individu, isi rumah serta perniagaan.

“Adanya aliran tunai yang berterusan dalam sistem kewangan kita akan dapat memastikan kesinambungan urusan perniagaan dalam ekonomi.

“Perlu disebut susulan daripada pengumuman moratorium, institusi perbankan negara semua bersetuju untuk tidak mengenakan faedah kompaun dalam tempoh enam bulan tersebut,” katanya.

Beliau yang merupakan seorang tokoh perbankan berkata, institusi perbankan juga memainkan peranan bagi memastikan pelaksanaan bantuan-bantuan Pakej Prihatin seperti skim kredit mikro di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berjumlah RM700 juta, Kemudahan Bantuan Khas (SRF) di bawah kelolaan Bank Negara Malaysia (RM5 bilion) dan juga Bantuan Prihatin Nasional (BPN) (RM13.8 bilion).

“Saya berpandangan bahawa institusi perbankan memainkan peranan yang besar dalam memudahcara Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perniagaan mikro ke arah digitalisasi perniagaan.

“Perubahan ini juga selaras dengan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital yang akan melihatkan integrasi lebih intim dari segi perdagangan dengan teknologi.

“Lebih-lebih lagi dalam dunia pasca-Covid-19 dengan norma-norma baharu, teknologi dan digitalisasi dapat menguatkan daya saing PKS dan perniagaan mikro dengan membuka peluang baharu untuk mereka terus berkembang,” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata lagi, salah satu cabaran kerajaan dalam menyalurkan BPN kepada rakyat ialah ada segolongan besar yang masih tidak mempunyai akaun bank.

“Kita dapati terdapat lebih kurang 400,000 penerima BPN daripada golongan B40 yang masih tidak memiliki akaun bank atau akaunnya sudah tidak aktif.

“Mungkin bank-bank boleh melihat bagaimana caranya untuk menghijrahkan golongan ini ke dalam sistem perbankan.

“Sekarang sudah ada rangkaian ejen bank untuk beri khidmat di kawasan pedalaman tetapi kita juga boleh tinjau kaedah lain mahupun platform telekomunikasi atau digital untuk memudahkan golongan ini membuka akaun bank,” katanya.

Beliau berkata, jika golongan berkenaan tidak melibatkan diri dalam sistem kewangan, ia bermaksud mereka tidak dapat akses kepada manfaat yang ditawarkan perkhidmatan kewangan sama ada untuk kegunaan peribadi mahupun perniagaan mereka.