Adakah penamat maraton PKP sudah makin hampir?

Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memerangi Covid-19 apabila kes positif harian sekali lagi mencatatkan angka terendah iaitu 54 kes. - Foto Bernama
Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memerangi Covid-19 apabila kes positif harian sekali lagi mencatatkan angka terendah iaitu 54 kes. - Foto Bernama
A
A
A

RABU lalu bermulanya fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19. Selepas hampir 28 hari Malaysia melalui dua fasa PKP, ternyata maraton panjang PKP yang dilalui rakyat negara ini masih jauh daripada penamatnya.

Apatah lagi dengan angka kes dunia kini sudah melonjak melebihi dua juta orang dengan lebih 150,000 kematian, tidak banyak negara yang berani mengibar bendera kejayaan menamatkan perintah berkurung di negara masing-masing.

Namun sejak Rabu lalu juga Malaysia mendapat sedikit khabar gembira. Selepas sebulan angka kes pesakit Covid-19 melepasi angka 100 orang malah paling tinggi mencecah 235 orang pada 26 Mac, akhirnya Rabu lalu angka itu turun kepada 85 orang.

Walaupun naik sedikit Khamis lepas apabila 110 orang disahkan positif Covid-19, namun bibit-bibit usaha meratakan lekukan graf pesakit Covid-19 kembali ada apabila jumlah kes positif virus pembunuh itu turun kepada 69 orang pada Khamis dan 54 orang semalam.

Persoalannya adakah trend jangkitan virus Covid-19 di Malaysia yang mula mencatatkan penurunan, mampu membolehkan kita mencapai misi meratakan lekukan graf sama seperti yang dilakukan China dan Korea Selatan.

Dan adakah dengan penurunan ini juga maraton panjang PKP Covid-19 yang penuh cabaran ini mampu kita tamatkan setakat PKP fasa ketiga?

Pakar virologi dari Universiti Malaya, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berpendapat Malaysia sebenarnya masih perlu mengadakan ujian saringan secara besar-besaran bagi menentukan dan mendapatkan angka jangkitan sebenar Covid-19 di negara ini.

Katanya, dalam situasi cara proses saringan sekarang, jumlah jangkitan sebenar masih tidak diketahui, sekali gus menyebabkan kita memperoleh trend jangkitan yang kurang konsisten.

Artikel Berkaitan:

Saringan besar-besaran

Sazaly menegaskan, pelaksanaan PKP semata-mata tidak akan dapat mengekang sepenuhnya penularan virus penyebab Covid-19, sebaliknya langkah agresif seperti saringan rambang secara besar-besaran perlu turut dijalankan bagi memperoleh data jangkitan sebenar. Ini memandangkan masih ada jangkitan dalam komuniti.

“Setelah mengetahui kadar jangkitan sebenar kita boleh membuat perancangan terbaik bagaimana untuk menangani penularan virus tersebut.

“Rekod jangkitan baharu berjumlah 85 kes pada Rabu, 110 kes pada Khamis, 69 kes Jumaat dan 54 kes semalam menunjukkan langkah PKP berkesan, namun masyarakat harus meneruskan kepatuhan selain kita perlu mengadakan ujian saringan besar-besaran,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kes positif Covid-19 di Malaysia setakat 18 April.
Kes positif Covid-19 di Malaysia setakat 18 April.

Tegasnya, kita tidak seharusnya menunggu pesakit-pesakit bergejala untuk datang melakukan saringan di hospital atau hanya melakukan saringan terhadap kontak rapat pesakit.

“Selain saringan di kawasan yang disasarkan, saringan rambang secara besar-besaran juga perlu dilakukan untuk mengetahui kadar sebenar pembawa jangkitan dalam komuniti.

“Ini kerana 80 peratus pesakit tidak menunjukkan gejala dan mereka tidak tahu telah menjangkiti orang lain,” katanya.

Ditanya sama ada PKP kali ini akan mampu meratakan lengkungan jangkitan, Sazaly berkata, ia amat bergantung kepada tahap kepatuhan masyarakat dan kesediaan untuk berkorban dengan meninggalkan amalan-amalan sosial yang biasa kita lakukan.

“Selain itu, perkara utama yang perlu difikirkan adalah langkah seterusnya sekiranya PKP ini ditamatkan kelak.

“Adakah kita bersedia sekiranya PKP ditamatkan dan semua sudah kembali bekerja, mampukah kita berdepan kemungkinan berlaku jangkitan di tempat kerja?”, soal Sazaly yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika Universiti Malaya.

Dalam pada itu, Sazaly berkata, sekiranya PKP berakhir setakat PKP fasa tiga, bermula dari sekarang majikan perlu mempunyai rancangan rapi bagaimana untuk mencegah dan menangani kemungkinan berlaku penularan virus itu di tempat kerja.

“Majikan perlu memikirkan bagaimana untuk memastikan norma baharu seperti penjarakkan sosial dapat diamalkan di tempat kerja selain mengambil langkah seperti membekalkan topeng muka dan sanitizer kepada para pekerja dan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, walaupun telah ada penurunan kes sejak beberapa hari lalu, namun trend jangkitan Covid-19 pada ketika ini tidak boleh diramal berikutan masih terdapat rakyat yang degil dan mementingkan diri.

“Masih terdapat segelintir masyarakat yang keluar rumah tanpa alasan munasabah, selain itu ada terdapat kes di mana pesakit tidak berterus-terang berkenaan sejarah perjalanan mereka dan akhirnya menyukarkan usaha pengesanan kontak jangkitan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Ahmad Shukri, pihak PERDIM menyambut baik sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan PKP bagi memastikan rantaian jangkitan virus maut itu dapat diputuskan sepenuhnya.

“Jika PKP perlu dilanjutkan hingga bulan Mei atau sehingga Hari Raya Aidlifitri kita harus terima dengan hati terbuka.

“Sekiranya kita mahu isu ini segera berakhir maka sama-samalah kita menjalankan peranan sebagai rakyat yang bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, selain kepatuhan terhadap PKP, pihak berkuasa perlu memantau rapi pergerakan keluar masuk dalam negara terutama warga asing bagi mengelak penularan terus berleluasa.

“Pemantauan perlu diperketatkan terutama di lorong-lorong tikus yang mungkin digunakan secara rahsia untuk keluar masuk dari negara ini.

“PERDIM juga menyokong hasrat kerajaan membuat saringan terhadap masyarakat khususnya yang berisiko seperti model yang dilaksanakan di Korea Selatan,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan telah menggerakkan inisiatif terbaik bagi membendung penularan virus, namun ia akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada masyarakat.

Yang pasti, dengan China menamatkan maraton panjang lockdown di Wuhan selama 76 hari, adakah kita mampu mengakhiri PKP di Malaysia setakat 28 April ini atau lebih tepat selama 42 hari?

Dengan pakar-pakar melihat trend penurunan beberapa hari ini masih kurang konsisten, mungkin maraton PKP Malaysia masih jauh daripada penamatnya.