X

Kindly register in order to view this article
!

Tengku Zafrul harap ekonomi negara alami pemulihan mendadak

Bank Negara Malaysia menjangkakan ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar -2.0 hingga 0.5 peratus tahun ini dengan pemulihan bermula pada akhir tahun dan lonjakan ekonomi pada tahun 2021. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap ekonomi Malaysia akan dapat mengalami pemulihan mendadak susulan daripada keadaan yang merudum ketika wabak Covid-19.

“Apabila kita menyebut tentang pemulihan semula ekonomi, apa yang diidamkan pastinya keluk pertumbuhan berbentuk ‘V’ iaitu pemulihan yang mendadak susulan keadaan merudum.

“Bulan-bulan yang mendatang akan menentukan betapa pantasnya kita dapat memacu sektor-sektor pertumbuhan menjelang tahun 2021.

“Tempoh beberapa bulan yang akan datang ini amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Ahad di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata, Bank Negara Malaysia menjangkakan ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar -2.0 hingga 0.5 peratus tahun ini dengan pemulihan bermula pada akhir tahun dan lonjakan ekonomi pada tahun 2021.

Menurut unjuran agensi kredit Fitch, ekonomi Malaysia dijangka tumbuh sebanyak 5.8 peratus pada tahun 2021, Bank Dunia pula menganggarkannya pada 6.7 peratus, manakala Tabung Kewangan Antarabngsa (IMF) adalah paling optimistik pada kadar pertumbuhan sembilan peratus.

“Saya tidak berkata pertumbuhan ini adalah suatu kepastian. Ia bergantung kepada kebolehan kita memerangi koronavirus (Covid-19) dan juga usaha yang perlu diambil untuk menjadikan unjuran positif ini semua menjadi satu realiti,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, banyak pihak meramalkan bahawa krisis ekonomi tersebut adalah yang paling mencabar pernah dihadapi.

“Namun tidak semudah itu untuk kita bandingkan krisis kewangan yang terdahulu dengan yang sekarang kerana faktor penularan wabak Covid-19 tidak pernah dialami sebelum ini.

“Oleh itu, cara pengendalian krisis ini tidak boleh mengguna pakai garis panduan lama dan juga cara pengendalian krisis berbeza dari negara ke negara mengikut keadaan semasa. Situasi sekarang sememangnya di luar jangka,” kata beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!