Hanya dua kes baharu Covid-19 di Selangor

Hanya dua kes baharu Covid-19 direkod di Selangor setakat jam 12 tengah hari tadi.
Hanya dua kes baharu Covid-19 direkod di Selangor setakat jam 12 tengah hari tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya dua kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan di Selangor setakat jam 12 tengah hari tadi.

Jumlah itu menunjukkan penurunan kes baharu direkodkan berbanding sembilan kes baharu yang dicatat semalam.

Menerusi info grafik dikongsikan di Facebook Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), jumlah kes terkumpul di Selangor setakat hari ini adalah sebanyak 1,340 kes.

“Berita baik buat warga Selangor lagi! Semalam sembilan kes, hari ini hanya dua saja kes baharu! Jumlah kes terkumpul pula setakat ini adalah 1,340. Malah kes sembuh di Malaysia pula 135 berbanding 54 kes baharu, hampir tiga kali ganda lagi seperti semalam.

“Sudah empat hari berturut-turut kita mencatatkan penurunan yang sangat memberangsangkan! Hal ini menunjukkan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menggempur jangkitan Covid-19,” Katanya dalam kenyataan yang dimuat naik itu.

Dalam pada itu, STFC berharap orang ramai tidak leka dan tidak menggagalkan usaha pelaksanaan PKP.

“Kita sudah sampai tahap macam ini, tolong jangan gagalkan usaha PKP. Pesan pada keluarga dan orang sekeliling untuk patuh ya. Kena saling beringat kerana selagi belum habis, selagi itu tidak boleh leka,” tulis kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi info grafik yang dikongsikan di Facebook memaklumkan 914 pesakit yang direkodkan positif sebelum ini sudah sembuh manakala kes masih aktif yang direkodkan di Selangor adalah sebanyak 414.

Artikel Berkaitan:

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, Selangor mencatat 12 kematian akibat Covid-19.