Pemohon BPN beri maklumat palsu akan dikenakan tindakan

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto Bernama
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang didapati memberikan maklumat tidak benar atau palsu akan diambil tindakan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu boleh diambil di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dikenakan denda atau hukuman penjara sehingga tiga tahun serta kerajaan berhak menarik balik bantuan yang telah diluluskan.

Menurutnya, permohonan baharu akan diverifikasi bagi memastikan BPN diterima oleh mereka yang benar-benar layak.

"Permohonan tersebut akan diproses dan disemak silang dengan pangkalan data agensi kerajaan yang lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengesahan warganegara Malaysia di samping semakan pendapatan dengan agensi pendapatan.

"Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa BPN telah disediakan oleh kerajaan hanya untuk dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia yang layak," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, setakat semalam pihaknya telah menerima tiga juta permohonan BPN baharu dan rayuan yang dibuka sejak 1 April dan ditutup pada 30 April 2020 nanti.

"Buat masa ini, permohonan BPN tersebut belum lagi diputuskan sama ada diluluskan atau sebaliknya.

"Keputusan akan dimaklumkan kepada pemohon pada bulan Mei 2020," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan pada 27 Mac lalu mengumumkan BPN sebanyak RM9.24 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (Prihatin) bagi memastikan tiada golongan yang tercicir ketika negara melawan wabak koronavirus (Covid-19).

Pembayaran BPN ialah RM1,600 kepada golongan isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah; RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000; RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah; dan RM500 kepada individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000.