Serangan keganasan Nairobi: Tiada rakyat Malaysia cedera

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam serangan keganasan di Kompleks Riverside Drive di hab komersial Nairobi, Kenya yang meragut 14 nyawa, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Loh Seck Tiong.

Dalam satu kenyataan bertulis kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini, beliau berkata, berikutan insiden itu pihak suruhanjaya tinggi sentiasa berhubung dengan penduduk Malaysia di Kenya.

Kumpulan militan Somalia, Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab terhadap serangan maut itu. Kumpulan berkaitan berikrar menyerang Kenya sebagai membalas dendam kerana menghantar tentera ke Somalia yang terjejas akibat konflik sejak 1991.

"Langkah keselamatan masih berkuatkuasa bagi menjamin lokasi kejadian selamat kerana belum dapat dipastikan berapa ramai yang berada di bangunan itu sekarang.

"Berdasarkan maklumat yang diterima pada masa kenyataan dikeluarkan, tiada mangsa membabitkan rakyat Malaysia," kata Seck Tiong.

Beliau berkata, suruhanjaya tinggi menasihatkan 80 rakyat Malaysia di Kenya supaya mengelakkan berada di kawasan itu dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini.

Kerajaan Kenya memberi jaminan bahawa keadaan adalah terkawal dan pihak suruhanjaya tinggi sentiasa memantau sebarang perkembangan terkini, kata Loh.

Sementara itu Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta dalam kenyataan terbarunya dilaporkan berkata semua pengganas yang menyerang kompleks hotel berkenaan berjaya dihapuskan sekaligus menamatkan serangan keganasan yang berlarutan selama hampir 20 jam.

Artikel Berkaitan:

Pada 2013 serangan serupa berlaku di pusat membeli-belah Westgate di Nairobi, juga dilakukan militan Al-Shabaab mengobankan 67 nyawa, manakala insiden di Garissa University pada 2015 menyaksikan kira-kira 150 orang terbunuh. - Bernama