Kerajaan perlu campur tangan, elak insentif Prihatin gagal

Mahfuz (tengah) ketika mengagihkan ikan percuma kepada penduduk sekitar Parlimen Pokok Sena.
Mahfuz (tengah) ketika mengagihkan ikan percuma kepada penduduk sekitar Parlimen Pokok Sena.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan diminta memantau pelaksanaan program bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), selain turut campur tangan bagi memastikan kelancaran insentif yang ditawarkan kepada rakyat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana terdapat rungutan daripada usahawan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) berhubung kelewatan kelulusan pinjaman pihak bank yang menetapkan syarat permohonan ketat.

Menurutnya, antaranya dengan meminta jaminan peribadi pengarah syarikat walaupun pinjaman tersebut dijamin sepenuhnya oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

“Sesetengah bank pula meletakkan syarat, pinjaman hanya boleh diambil sehingga 20 peratus daripada jumlah jualan tahun lepas.

"Ini bermakna, pinjaman hanya dapat menampung perbelanjaan syarikat sekitar tiga bulan, sedangkan keadaan ekonomi dijangka berterusan sekurang-kurangnya enam hingga sembilan bulan akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, tindakan meletakkan pelbagai syarat ketat akan menggagalkan matlamat pakej Prihatin untuk membantu usahawan PKS mendapatkan pembiayaan demi kelangsungan perusahaannya.

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan dana Kemudahan Bantuan Khas (KBK) sebanyak RM5 bilion dan Skim Kredit Mikro BSN sebanyak RM500 juta kepada perniagaan PKS yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

Bantuan pembiayaan itu adalah untuk meringankan beban aliran tunai jangka pendek setelah lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga fasa ketiga yang merencatkan aktiviti perniagaan PKS.

Artikel Berkaitan:

Mahfuz berkata, ramai usahawan PKS kini terpaksa bergantung kepada aset peribadi untuk membiayai kos operasi perniagaan selain menampung perbelanjaan harian.

“Adalah tidak adil untuk memaksa mereka mengambil risiko mencagarkan aset-aset peribadi untuk mohon pembiayaan KBK sedangkan jaminan disediakan oleh agensi kerajaan.

"Saya harap kerajaan pantau pelaksanaan program pembiayaan ini, letakkan garis panduan jelas agar institusi perbankan tidak mengambil langkah berlebihan dalam mengelakkan risiko kredit,” katanya.

Menurutnya, institusi kewangan ini harus bersama memainkan peranan untuk membina kembali ekonomi negara.

Mahfuz berkata, Kementerian Kewangan mengumumkan setakat 12 April, hanya 30 peratus daripada dana KBK diluluskan kepada 3,000 peminjam dengan purata nilai pinjaman sebanyak RM500,000, manakala, hanya lima peratus daripada Skim Kredit Mikro diluluskan kepada 225 syarikat dengan purata nilai pinjaman sebanyak RM50,000.

“Peratusan kelulusan tersebut adalah terlalu rendah sewaktu hampir kesemua syarikat PKS sedang bergelut dengan kehilangan jualan sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Jelasnya, dalam kajian dijalankan Persatuan PKS Malaysia melibatkan 15,627 buah syarikat PKS, 70 peratus syarikat PKS mempunyai simpanan tunai yang hanya mampu bertahan sehingga April ini sahaja.