Keluar rumah tanpa alasan munasabah tindakan pentingkan diri: KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika meninjau sekatan jalan raya Ops Covid19 baru-baru ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika meninjau sekatan jalan raya Ops Covid19 baru-baru ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan keluar rumah secara beramai-ramai di kawasan yang tiada sekatan jalan raya merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau menyifatkan mereka yang keluar rumah tanpa alasan munasabah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 adalah golongan yang mementingkan diri sendiri.

“Mereka ini hanya menipu diri sendiri, serta mendedahkan ahli keluarga kepada risiko jangkitan (Covid-19),” katanya kepada Bernama hari ini sebagai mengulas tindakan segelintir individu yang bangga apabila dapat lari dari sekatan jalan raya, serta ada yang keluar rumah secara beramai-ramai di kawasan yang tidak dilaksanakan sekatan jalan raya.

Semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis telah mengenal pasti identiti keluarga yang memuat naik hantaran di laman sosial kononnya mereka telah berjaya balik ke Kuala Lumpur selepas menipu pihak berkuasa.

Mengulas perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya telah mengenal pasti identiti ahli keluarga itu dan tindakan lanjut akan diambil terhadap mereka.

“Jangan salah guna kepercayaan serta mengambil kesempatan keluar rumah dalam tempoh PKP sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang benar-benar memerlukan seperti petugas kesihatan, polis dan lain-lain,” katanya.

Azisman turut menasihati orang ramai untuk berada di rumah masing-masing dalam tempoh pelaksanaan PKP sehingga 28 April ini bagi membolehkan rantaian Covid-19 diputuskan.- Bernama

Artikel Berkaitan: