Hairan DBKL tak tahu 'bangunan haram' dibina atas tanah kerajaan

Khalid menunjukkan 'bangunan haram' atas tanah kerajaan yang diluluskan DBKL semasa 2015.
Khalid menunjukkan 'bangunan haram' atas tanah kerajaan yang diluluskan DBKL semasa 2015.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memberikan tempoh sehingga hujung bulan ini kepada pemilik sebuah syarikat yang menceroboh dua lot tanah kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang untuk tampil memberikan cadangan penyelesaian.

Khalid berkata, lot568 dan lot716 dengan keluasan dianggarkan 0.36 ekar bernilai lebih RM20 juta itu telah didirikan bangunan pejabat enam tingkat dan gerai-gerai buahan dengan hasil sewa RM16,000 sebulan, tahun lalu.

Beliau mempersoalkan, kelulusan kebenaran merancang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2015 sedangkan status tanah adalah milik Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan jawatankuasa kerja tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara.

"Bagaimana kebenaran merancang dikeluarkan kepada syarikat dalam keadaan tanah bukan milik syarikat mahupun DBKL?

"Bagaimana pindaan kebenaran merancang dikeluarkan daripada cadangan membina bangunan dua tingkat diubah kepada empat tingkat dan seterusnya enam tingkat?.

"Bagaimana syarikat boleh menduduki tanah yang bukan milik mereka dan boleh mengutip hasil daripadanya?," soalnya pada sidang media pendedahan pencerobohan tanah tersebut di Bangunan DBKL 1, hari ini.

Katanya, hasil mesyuarat hari ini memutuskan dua perkara, menunggu maklum balas pihak yang membina bangunan dan membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pihak yang terlibat meluluskan projek.

"Kita tunggu pemilik syarikat tampil sama ada mahu mempertahankan bangunan itu atau sebaliknya. Jika mahu pertahan maka mereka perlu kemukakan permohonan pemilikan tanah untuk beli dengan harga pasaran dan bayar segala premium tanah, kelulusan pembangunan dan denda yang akan dikenakan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan unit integriti akan diserahkan kepada SPRM dijangka minggu ini untuk tindakan selanjutnya berhubung kelulusan pembinaan 'bangunan misteri' yang wujud penyelewengan dan salah guna kuasa dalam DBKL," katanya.

Beliau menolak dakwaan, wujud kekeliruan atau 'tidak tahu' berhubung status tanah kerana hal tersebut pernah dibangkitkan oleh dua Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fung Kui Lun Mac 2017 dan Segambut, Lim Lip Eng tahun sama.

"Alasan pihak berkuasa tak tahu pencerobohan adalah tidak wajar kerana bantahan pernah dibuat dua Ahli Parlimen dan kewujudan bangunan misteri itu pernah dilaporkan media," katanya.