X

Kindly register in order to view this article
!

Pasukan pakar perubatan China tiba hari ini

Pasukan pakar perubatan dari China bergambar dalam kapal terbang yang mereka naiki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
A
A

SHAH ALAM – Seramai lapan pakar perubatan dari China telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini tengah hari tadi bagi membantu Malaysia untuk memerangi pandemik koronavirus (Covid-19).

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, ketibaan pasukan pakar perubatan itu telah sekali lagi melambangkan hubungan baik Malaysia-China yang diibaratkan sebagai 'bukit sama didaki, lurah sama dituruni'.

"Sejak wabak Covid-19 meletus, kerajaan Malaysia dan pelbagai pihak telah memberikan sokongan kepada China untuk menangani wabak ini.

"Jangkitan ini tiada sempadan, setiap orang berdepan dengan musuh yang sama, maka warga seluruh dunia mesti bersatu hati untuk mencegahnya dengan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi kedutaan tersebut di sini hari ini.

Bai Tian (lima dari kiri) bergambar bersama pasukan pakar perubatan dari China untuk membantu Malaysia memerangi Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
Bai Tian (lima dari kiri) bergambar bersama pasukan pakar perubatan dari China untuk membantu Malaysia memerangi Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Bai Tian berkata, keadaan Covid-19 di China kini dikawal dengan berkesan dan susulan itu, kerajaan China telah menyalurkan bantuan kepada pelbagai negara termasuklah Malaysia dengan berkongsi pengalaman mengenai pencegahan dan menghantar bekalan.

“Pasukan ini diselaraskan oleh Suruhanjaya Kesihatan Negara China dan terdiri daripada lapan individu yang dipilih Suruhanjaya Kesihatan di wilayah Guangdong.

"Mereka mempunyai kepakaran khusus dalam pelbagai bidang seperti pernafasan, rawatan rapi, psikiatri, penyakit berjangkit, analisis data, virologi dan perubatan tradisional Cina (TCM).

"Mereka merupakan antara pakar terbaik yang dipilih khas oleh China. Sebilangan daripada mereka pernah bertugas di wilayah Hubei," katanya.

Dalam pada itu, Bai Tian berkata, pasukan tersebut akan berada di Malaysia sepanjang dua minggu dan mereka juga akan pergi ke Sabah dan Sarawak untuk berkongsi kepakaran mereka.

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kakitangan perubatan dari seluruh Malaysia bakal mendapat manfaat daripada sesi perkongsian pengalaman ini.

"Kami yakin akan usaha Malaysia dalam mencegah wabak Covid-19 dan kami berharap Malaysia akan memenangi perang ini tidak lama lagi," katanya.

Bantuan yang dihantar bersama dengan pasukan pakar perubatan dari China untuk membantu Malaysia memerangi Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
Bantuan yang dihantar bersama dengan pasukan pakar perubatan dari China untuk membantu Malaysia memerangi Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketua pasukan pakar perubatan itu yang juga Ketua Pakar Perubatan dan Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong, Dr Li Jun berkata, pihaknya terharu dengan sambutan mesra oleh pihak Malaysia dan mereka datang atas semangat hubungan baik antara China dan Malaysia.

"Kami akan menggunakan masa di Malaysia dengan sepenuhnya untuk membantu Malaysia mencegah Covid-19 bersama,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan senarai lapan orang pakar perubatan yang telah dimuatnaik ke laman Facebook rasmi Kedutaan China.

Mereka ialah Ketua Pakar Perubatan Bersekutu, Dr Wen Miaoyun; Profesor Kejururawatan dan Pengarah Jabatan Kawalan Jangkitan Nosocomial, Dr Zhang Youping; Ketua Pakar Perubatan Bersekutu Jabatan Pernafasan dan Perubatan Kritikal, Dr Yang Shifang; Ketua Pakar Perubatan Bersekutu Jabatan Penyakit Berjangkit, Dr Luo Xiaodan dan Ahli Psikologi Kanan, Dr Liu Xiangxin.

Dua lagi doktor ialah Ketua Pakar Perubatan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Wilayah Guangdong, Dr Liu Tao dan Ketua Juruteknik Bersekutu Virologi dan Timbalan Pengarah Pejabat Kajian Am, Institut Kesihatan Awam Wilayah Guangdong, Dr Sun Jiufeng.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!