400,000 penerima BPN akan terima bayaran secara tunai

Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

PUTRAJAYA - Kira-kira seramai 400,000 penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kebanyakan penerima BPN yang menerima bayaran secara tunai itu adalah kerana tidak mempunyai akaun bank atau akaun bank yang sudah tidak aktif.

"Kita telah memberitahu kepada mereka dan mereka akan mengeluarkan wang mereka melalui cawangan-cawangan BSN," katanya kepada media di sini hari ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan semalam berkata, penerima berkenaan boleh menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 April 2020 hingga 31 Disember 2020.

Terdahulu pada satu majlis, Tengku Zafrul menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Yinson Holdings Berhad, Kuok Brothers Sdn Bhd dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd kepada Bulan Sabit Merah Malaysia.

Antara barangan yang disumbangkan adalah topeng muka, pensanitasi tangan dan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19.

Dalam pada itu katanya, setakat ini kira- kira 2.8 juta permohonan rayuan BPN telah diterima Lembaga Hasil Dalan Negeri (LHDN).

"LHDN sedang membuat pertimbangan dan akan membuat keputusan sebelum 30 April," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: