Cukuplah saya seorang kena, kata Amirul Adib

Zubaidah memeluk anak lelakinya selepas dibebaskan.
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Rakyat Malaysia yang ditahan di Thailand kerana membawa walkie talkie dan membawa kenderaan tanpa permit akhirnya dibebaskan selepas ditahan selama 30 hari di Pusat Tahanan Nathawee, Songkhla.

Wan Mohd Amirul Adib Wan Subhi, 22, bersyukur tidak terhingga kerana akhirnya dapat dibebaskan selepas ditahan gara-gara memiliki walkie-talkie dalam satu sekatan jalan raya di Sadao pada 14 Disember.

Menurut Amirul Adib, dia dibebaskan jam 8 malam 14 Januari lepas sebelum boleh berangkat pulang ke rumahnya di Taman Golf, di sini, selepas selesai segala proses dokumen dan jaminan kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin.

"Alhamdullillah, saya bersyukur tidak terhingga apabila dibebaskan selepas sebulan ditahan. Rasa tersangat lega, tak dapat terucap perasan gembira, apabila duduk dalam tu tak tahu apa nasib diri, sentiasa tertanya-tanya.

"Pada hari pertama, saya rasa nak menangis mengenangkan nasib diri yang ditahan hanya kerana walkie-talkie. Mujurnya, ada rakyat Malaysia yang turut ditahan banyak memberi sokongan moral sehingga membuatkan saya kuat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menafikan agak serik dan masih fobia dengan kejadian yang berlaku menimpa dirinya, sekaligus mengharapkan insiden menimpan dirinya tidak terjadi lagi kepada sesiapa pun selepas ini.

Adib (kanan) sebak menceritakan pengalaman 30 harinya ditahan di Thailand.
Adib (kanan) sebak menceritakan pengalaman 30 harinya ditahan di Thailand.

"Bawa pelancong mungkin tak dah. Mungkin, saya akan kembali ke sana. Bagaimanapun, bukannya dalam masa terdekat inilah, mungkin pada satu tempoh masa lain. Jikalau pergi melancong sendiri, saya akan pergi dengan orang berpengalaman," katanya.

Menurutnya, dia turut menasihatkan sesiapa yang ingin memasuki negara lain supaya ambil berat, membaca dahulu dan membuat kajian berkaitan undang-undang negara tersebut supaya kejadian sama tidak berulang.

"Janganlah jadi macam saya, cukuplah saya seorang yang kena. Jangan ada orang lain kena. Cukup saya seorang sahaja kot yang terpaksa lalui perit getir macam mana, susah payah macam mana," katanya.

Dalam perkembangan sama, Amirul Adib berkata, dia berterima kepada semua pihak terbabit termasuklah rakyat Malaysia membantu dan menyalurkan sumbangan demi membolehkan keluarganya membuat urusan membawa keluar dirinya.

Ibunya, Siti Zubaidah Saad, 48, berkata, lebih kurang RM70,000 wang terpaksa diperuntukkan terutamanya wang jaminan untuk urusan membawa keluar dan membebaskan anak ketiga dari lima adik beradik tersebut.

"Jadi, mak cik rasa terharu dan bersyukur kepada semua pihaknya yang bantu kami. Jikalau tak dak orang-orang ini, tak taulah macam mana.Tak kata-kata boleh saya balas, ALLAH SWT sahaja yang dapat membalas. Jadi, terima kasih semua sebab bantu kami," katanya.

Sebelum ini, kisah Wan Mohd Amirul Adib yang memerlukan wang jaminan RM51,000 untuk wang jaminan selepas ditahan di Thailand kerana didapati memiliki walkie-talkie dalam satu pemeriksaan di satu sekatan jalan di Sadao menjadi tular hingga meraih simpati netizen.