'Memang kami tak terima peruntukan khas Covid-19'

Mohd Imran (kanan) mengedarkan bantuan kecemasan Covid-19 kepada salah seorang penerima di DUN Sungai Panjang di sini hari ini.
Mohd Imran (kanan) mengedarkan bantuan kecemasan Covid-19 kepada salah seorang penerima di DUN Sungai Panjang di sini hari ini.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin menyangkal kenyataan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi bahawa kerajaan Selangor berlaku adil dalam pengagihan peruntukan kepada semua ADUN di negeri ini termasuk pembangkang.

Mohd Imran sebaliknya berkata, Najwan mungkin tidak mendapat penerangan jelas berhubung peruntukan khas Covid-19 sebanyak RM30,000 yang disalurkan sebanyak dua kali kepada ADUN kerajaan kecuali pembangkang.

"Saya ingin jelaskan ADUN bukan kerajaan di Selangor tidak mendapat sebarang peruntukan khusus berbanding ADUN kerajaan dan juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang difahamkan telah mendapat RM30,000 pertama dan kedua bagi menangani Covid-19 di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Facebook Live selepas Majlis Penagihan Bantuan Covid-19 DUN Sungai Panjang di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 9 ADUN Selangor tidak terima peruntukan RM30,000 tangani Covid-19?

Mohd Imran menjelaskan, sememangnya sejak dahulu lagi ADUN pembangkang mendapat peruntukan tahunan daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan tahunan kepada ADUN pembangkang itu telah dikurangkan daripada RM200, 000 kepada RM150, 000 setahun di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Justeru, katanya, adalah lebih baik sekiranya Najwan dapat menggantikan Amirudin selaku menteri besar yang mampu mengagihkan bantuan sama rata dan adil tanpa mengira fahaman politik.

"Saya harap Najwan boleh intai-intailah kerusi Menteri Besar Selangor dan jika ada rezeki boleh kongsikan hasil bumi Selangor ini bersama-sama tak kira kerajaan atau pembangkang.

Artikel Berkaitan:

"Kalau Najwan tak dapat jadi menteri besar mungkin Najwan boleh bersama-sama kami di kerusi pembangkang untuk sama-sama merasai pengagihan yang dilakukan kerajaan Selangor," katanya.

Sementara itu, menerusi ruangan komen di Live Facebook itu, Najwan memaklumkan, beliau akan memanjangkan isu pengagihan peruntukan itu kepada Amirudin.

"Saya berharap perkara ini dikaji dan dipertimbang agar diselaras secara saksama dengan peruntukan diterima ADUN kerajaan," katanya.

Sebelum ini, Najwan dalam sebuah video yang dimuat naik sebuah portal berita di YouTube meminta kerajaan Pakatan Nasional (PN) tidak bermain politik dengan menyekat peruntukan ahli Parlimen pembangkang terutama dalam penyaluran bantuan Covid-19 kepada rakyat.

Katanya, tidak wajar kerajaan di peringkat Persekutuan menafikan hak ahli Parlimen pembangkang yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu untuk mengagihkan bantuan kepada masyarakat.

"Contohnya di Selangor kita tidak mengamalkan diskriminasi baik ADUN pembangkang mahu pun kerajaan masing-masing masing menerima peruntukan.

"Walaupun ada suara-suara kononnya Selangor menganaktirikan ADUN pembangkang itu tak benar sebab Selangor satu-satunya negeri mengamalkan sikap matang dalam berdepan dengan pembangkang.

"Kita memberi kemudahan kepada pembangkang termasuk ketua pembangkang yang mendapat layan setara seperti negara maju seperti kemudahan pejabat, staf, kereta dan inilah politik yang patut kita amalkan pada masa sekarang ini," katanya.