X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP pastikan barang keperluan cukup

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi tumpuan berterusan dalam memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi dan harga barang terkawal semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, seramai 2,300 pegawai penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negara sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan dan pemantauan ke atas barangan keperluan itu dilakukan bagi memastikan bekalan mencukupi dan tiada peniaga yang sengaja menaikkan harga atas alasan-alasan tertentu.

"Pemantauan bekalan dan harga dijalankan ke atas 25 jenis barangan keperluan meliputi kategori seperti kategori makanan kering iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, beras, susu tepung, biskut, sardin, mi segera dan roti putih.

"Kategori barang segar iaitu ayam, makanan sejuk beku, sayur-sayuran, telur, bawang dan susu segar dan kategori minuman iaitu air mineral, malt coklat jenama milo dan kopi atau teh.

"Selain itu, kategori kebersihan dan kesihatan iaitu cecair pembasmi kuman (hand sanitiser), topeng muka, tisu basah, tisu tandas, lampin bayi, lampin dewasa, paracetamol (panadol)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, sepanjang tempoh 18 Mac hingga 15 April lalu, KPDNHEP menjalankan 25,543 pemeriksaan meliputi peringkat runcit, borong dan kilang.

Menurutnya, hasil pemantauan dilakukan mendapati bekalan 25 barangan tersebut adalah mencukupi dalam pasaran.

"Kementerian akan terus meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas bekalan dan harga barangan di seluruh negara.

"Sekiranya berlaku kenaikan harga tinggi yang tidak munasabah ke atas mana-mana barangan keperluan dalam tempoh PKP, maka Kementerian boleh pada bila-bila masa dalam tempoh PKP melaksanakan mekanisme kawalan harga sebagaimana Skim Harga Maksimum yang telah dilaksanakan semasa musim-musim perayaan sebelum ini," katanya.

Katanya, pemantauan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Sementara itu, jika didapati ada mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian itu melalui portal [email protected], Call Centre 1800 886 800, emel [email protected]

Selain itu, aduan juga boleh dibuat di aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC) atau lapor ke mana-mana 73 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!