Kehadiran pakar perubatan China sangat dialu-alukan

Laporan Sinar Harian berkaitan lapan pakar perubatan China akan ke Malaysia.
Laporan Sinar Harian berkaitan lapan pakar perubatan China akan ke Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Kehadiran pasukan pakar perunding perubatan China untuk membantu Malaysia menangani wabak koronavirus (Covid-19) sangat dialu-alukan.

Pakar Mikrobiologi Klinikal daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata, ia merupakan satu inisiatif yang sangat bagus kerana pasukan itu mempunyai pengalaman mengendalikan Covid-19 di negara mereka sebelum ini.

“Banyak yang kita belum ketahui mengenai wabak ini termasuk kaedah rawatan yang berkesan. Jadi dengan kehadiran kumpulan doktor pakar ini, kita dapat belajar daripada mereka banyak perkara terutama cara-cara mengendalikan pesakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan pakar perubatan China akan ke Malaysia

“Apa yang bagus di China, kita lihat mereka turut gunakan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) dalam ujian pengesanan Covid-19 dan ia boleh kita pelajari,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Dr Zamberi
Dr Zamberi

Berdasarkan maklumat dimuat naik di laman Facebook rasmi Kedutaan China di Malaysia kelmarin, pasukan itu terdiri daripada lapan orang doktor dalam pelbagai bidang perubatan.

Turut dikongsi dalam hantaran itu juga ialah senarai nama-nama doktor beserta bidang kepakaran masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Lima daripada lapan doktor itu terdiri daripada pakar perubatan di Hospital Awam Wilayah Guangdong iaitu Ketua Pakar Perubatan Bersekutu, Dr Wen Miaoyun; Professor Kejururawatan dan Pengarah Jabatan Kawalan Jangkitan Nosocomial, Dr Zhang Youping; Ketua Pakar Perubatan Bersekutu Jabatan Pernafasan dan Perubatan Kritikal, Dr Yang Shifang; Ketua Pakar Perubatan Bersekutu Jabatan Penyakit Berjangkit, Dr Luo Xiaodan dan Ahli Psikologi Kanan, Dr Liu Xiangxin.

Tiga lagi doktor ialah Ketua Pakar Perubatan dan Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong, Dr Li Jun; Ketua Pakar Perubatan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Wilayah Guangdong, Dr Liu Tao dan Ketua Juruteknik Bersekutu Virologi dan Timbalan Pengarah Pejabat Kajian Am, Institut Kesihatan Awam Wilayah Guangdong, Dr Sun Jiufeng.

Sebelum ini, media melaporkan syarikat e-dagang utama dunia, Alibaba Group (Alibaba) menggunakan teknologi AI untuk menganalisis imbasan CT untuk pengesanan wabak itu.

Teknologi AI itu dikatakan dapat mengenal pasti perbezaan gambar antara pneumonia yang dijangkiti dengan Covid-19 dan pneumonia yang tidak dijangkiti dengan Covid-19 dalam masa 20 saat dengan kadar ketepatan hingga 96 peratus hingga menyebabkan teknologi itu digunakan di banyak hospital di China.