Isu pembayaran hibah langgar akta, TH buat laporan polis

TH
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis berhubung penyata kewangan 2017 dan bagaimana representasi yang dibuat beberapa eksekutif membawa kepada pengisytiharan bayaran hibah yang melanggar Akta Tabung Haji 1995.

TH melalui kenyataan media berkata, laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

TH berkata, institusi kewangan Islam itu mengenal pasti dua kertas kerja eksekutif yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Tabung Haji dalam dua mesyuaratnya pada 6 Februari dan 9 Februari tahun lalu.

"Kertas kerja eksekutif itu disediakan Ketua Pegawai Kewangan, Rozaida Omar dan disokong oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif, Johan Abdullah.

"Kertas kerja eksekutif iti mengandungi kenyataan dan representasi yang membawa kepada angka yang salah telah digambarkan di dalam penyata kewangan berkenaan yang diterima oleh lembaga pengarah," kata kenyataan TH, hari ini.

TH berkata, berdasarkan penyata kewangan tersebut, Lembaga Pengarah TH membuat cadangan kepada menteri yang bertanggungjawab, yang kemudiannya meluluskan pengisytiharan hibah yang dapat diagihkan bagi tahun kewangan 2017 sebanyak 4.5 peratus dan Hibah Haji sebanyak 1.75 peratus yang bertentangan dengan seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995.

"Penyata kewangan TH yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 ditandatangani pada 3 April 2018 oleh Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Johan bagi pihak lembaga TH dan Rozaida sebagai pegawai utama yang bertanggungjawab ke atas kewangan pengurusan dan rekod perakaunan TH," kata kenyataan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendedahkan TH membayar hibah walaupun defisit sejak 2016.

Menurut Akta Tabung Haji 1995, dana berkenaan tidak boleh membayar dividen jika liabilitinya melebihi aset.