KPWKM nafi tuduhan pembangkang

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengagihkan bantuan bakul makanan kepada semua kawasan yang didakwa telah dianaktirikan oleh pembangkang.

Kementerian tersebut melalui satu kenyataan berkata, bantuan berkenaan merentasi semua daerah dan negeri termasuk kawasan-kawasan yang didakwa telah dianaktirikan seperti di Manjung, Kapit, Machang, Simpang Renggam, Port Dickson, Seremban dan Tampin.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai rekod senarai penerima semua bantuan yang telah diagihkan dan akan terus memantau senarai penerima berdasarkan aduan dan rujukan serta sekali gus bertanggungjawab melaporkan rekod keseluruhan senarai penerima termasuk alamat mereka kepada agensi pusat," katanya di sini hari ini.

Hari ini, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mempersoalkan proses pengagihan bantuan 1,000 bakul makanan yang dijanjikan kerajaan ke kawasan Parlimen.

Menurut beliau, walaupun memasuki fasa ketiga dan minggu keempat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), agihan kepada rakyat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu tidak berjalan seperti diharapkan.

Beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya pemberian terpilih apabila mendakwa kawasan Parlimen pembangkang masih tidak menerima agihan bantuan terlibat.

Dalam pada itu, KPWKM berkata, sepanjang tempoh PKP, KPWKM melalui JKM telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk mengagihkan bantuan bakul makanan kepada rakyat yang terkesan.

"Permohonan yang diterima oleh JKM adalah daripada pelbagai sumber dan telah ditambah baik dari semasa ke semasa berasaskan aduan yang diterima oleh bilik gerakan dan juga rujukan daripada pihak pemimpin masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kenyataan akhbar ini ditulis, JKM telah mengagihkan bantuan keperluan makanan yang melibatkan seramai 279,223 penerima dan dianggarkan bantuan ini telah memberi manfaat kepada 1,116,892 isi rumah," katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, KPWKM) mengalu-alukan semua pihak termasuk ahli Parlimen untuk mengemukakan aduan dan rujukan sekiranya dikenal pasti terdapat pihak yang memerlukan bantuan, khususnya mereka yang terputus pendapatan harian sepanjang tempoh PKP serta belum pernah menerima sebarang bantuan.

Jelasnya, aduan boleh dikemukakan ke bilik gerakan di talian 03-83231996.