Musa Aman kecewa, tetapi hormati keputusan mahkamah

Musa Aman
Musa Aman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman melahirkan rasa kecewa susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengetepikan kebenaran yang diberikan Mahkamah Sesyen melepaskan pasport beliau bagi meneruskan rawatan di luar negara.

Musa berkata, meskipun kecewa dengan keputusan itu, beliau perlu menghormati perintah tersebut atas prinsip kepercayaan kepada kedaulatan undang-undang.

Menurut Musa, keputusan Mahkamah Tinggi itu menafikan beliau untuk menerima rawatan susulan daripada doktor pilihan yang merawatnya sejak 22 tahun lalu.

"Walaupun saya tidak bersetuju dengan keputusan itu, saya tahu ia perlu dihormati.

Bagaimanapun berdasarkan prinsip keadilan, seseorang yang dituduh adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Anggapan tidak bersalah bukan hanya hak yang sah tetapi juga merupakan hak asasi manusia. Dalam hal ini, saya tidak boleh merasakan bahawa saya telah dianggap bersalah sehingga terbukti sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Musa Aman berjaya dapatkan pasport]

[ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan mohon semak kebenaran Musa Aman dapatkan pasport]

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Musa Aman gagal dapat kebenaran jalani rawatan di luar negara]

Jelasnya, beliau meminta meneruskan rawatan perubatan yang sedang dijalankan sejak tahun lepas di Singapura dan United Kingdom sebagai rawatan lanjut bersama doktor peribadinya yang telah merawat beliau selama lebih 22 tahun.

"Hakim mahkamah sesyen sebelum ini telah membenarkan permohonan ini yang memahami kebaikan permintaan saya namun malangnya ia di tolak Hakim Mahkamah Tinggi.

"Saya percaya tiada siapa yang patut dilucutkan hak untuk mencari dan meneruskan rawatan perubatan oleh doktor pilihannya lebih-lebih lagi rawatan itu tidak mengganggu prosiding mahkamah," ujarnya.

Tambahnya, isu melarikan diri atau mengelak pihak berkuasa tidak timbul sama sekali sedangkan beliau telah pulang ke tanah air pada Ogos 2018 untuk membantu siasatan dan melaksanakan tugas wakil rakyat.

"Setakat ini, saya telah memberikan kerjasama penuh dan memberitahu pihak berkuasa termasuk SPRM walaupun saya berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan dan sebaik sahaja pulang ke negara ini.

"Jelas sekali, saya tidak mempunyai risiko melarikan diri malah mempunyai sebab yang sah untuk terus mencari rawatan yang perlu ditangguhkan," tegasnya.

Rentetan keputusan mahkamah hari ini beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan perkara itu dengan doktor yang merawatnya di UK dan Singapura.

"Saya akan meminta nasihat mereka dan berunding dengan peguam saya dalam tindakan seterusnya," katanya.