Arah baharu pendidikan negara

No Image Caption
A
A
A

AWANG hormati keputusan Kementerian Pendidikan bahawa tahun ini peperiksaan UPSR dan PT3 dibatalkan.

Keputusan itu memang wajar memandangkan keadaan negara pada masa kini.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin umumkan juga beberapa peperiksaan lain yang terpaksa ditunda.

Pembukaan semula sesi sekolah bergantung pada perkembangan semasa.

Pada pendapat Awang, inilah masa yang baik untuk kementerian kaji semula kaedah pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Sistem pendidikan kita sepatutnya sudah bersedia dengan teknologi yang membolehkan pelajar tidak terganggu pendidikan mereka dalam apa keadaan sekali pun.

Lebih-lebih lagi apabila berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sekarang atau mungkin keadaan darurat pada masa depan.

Jutaan pelajar kita tidak harus dinafikan pendidikan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Artikel Berkaitan:

Sepatutnya pendidikan berjalan terus. Pelajar patut dibekalkan dengan komputer buku atau laptop di mana guru boleh mengajar secara dalam talian.

Anak-anak sekolah mesti disiapkan dengan peralatan secukupnya untuk tujuan ini.

Kementerian juga harus mempunyai kapasiti untuk membolehkan jutaan pelajar kita belajar tanpa gangguan.

Awang harap krisis Covid-19 akan membuka mata perancang pendidikan tentang arah dan kaedah baharu pendidikan negara.

Kumpulan tabligh ‘dikambinghitamkan’?

Awang simpati dengan nasib 191 jemaah tabligh warganegara Malaysia yang sekarang berada di India.

Dengarnya mereka sedang dikuarantin. Khabarnya terdapat juga 17 orang yang ditahan di sana akibat salah guna visa.

Memang isu jemaah tabligh ini banyak diperkatakan. Keadaan wabak Covid-19 di negara kita mungkin tak seburuk ini sekiranya tidak berlaku perhimpunan di sebuah masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Yang peliknya di tengah-tengah suasana tegang masih ada jemaah ini yang pergi ke India.

Macam mana mereka boleh lepas ke India dari 1 hingga 15 Mac pun hairan juga.

Kita boleh menuding jari menyalahkan kerajaan India. Memang ada masalah berkait dengan kerajaan yang memerintah India sekarang terhadap orang Islam.

Kita semua tahu siapa di belakang kerajaan itu. Sentimen anti-Islam amat jelas.

Ada konspirasi yang mengatakan bahawa apa yang berlaku sekarang ialah rancangan umat Islam nak menjangkitkan orang lain melalui ‘jihad-korona’.

Kita juga tidak mahu gerakan tabligh negara ini dipalit dengan nama buruk.

Malah, buat masa ini begitu sekali fobia rakyat melihat orang tabligh, pelbagai kartun, sketsa dan video yang muncul untuk mempersenda kumpulan ini dalam media sosial

Pada waktu yang sama, kajilah semula sekolah-sekolah tahfiz kita.

Awang tahu ini hal yang sensitif tapi kalau ikut saringan KKM terhadap 2,697 pelajar tahfiz, seramai 250 orang didapati positif atau dekat 10 peratus.

Lihatlah cara hidup, tempat tinggal dan kebajikan mereka di sekolah-sekolah ini.