Belanja RM100 sehari demi rawatan anak

Delvirahafiz bersama anaknya yang menghidapi penyakit Meningitis
Delvirahafiz bersama anaknya yang menghidapi penyakit Meningitis
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bapa perlu membelanjakan RM100 sehari bagi menampung perbelanjaan rawatan anaknya berusia 10 bulan yang menderita penyakit Meningitis atau radang otak sejak tahun lalu.

Difahamkan, bayi berkenaan, Del Uwais Alqarni Delvirahafiz Masnel disahkan menghidap penyakit itu selepas demam panas pada 9 September tahun lalu dan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) tiga hari selepas itu.

Menurut bapanya, Delvirahafiz Masnel, 37, selepas menjalani rawatan di ICU selama 22 hari, anak bongsunya itu mula menunjukkan perkembangan positif malah jantung dan pernafasannya juga semakin baik.

"Alat bantuan pernafasan juga turut dicabut pada waktu itu. Namun apabila dipindahkan ke wad biasa, badannya mula menegang sehingga tulang belakang membengkok, jari tangan tertutup rapat dan pergelangan tangannya juga bengkok.

"Del Uwais juga tidak menunjukkan sebarang respon apabila dipanggil hingga pihak hospital perlu memasukkan susu melalui tiub," katanya.

Mengulas lanjut, Delvirahafiz berkata, pihak hospital mengambil sampel air tulang belakang anaknya itu sebanyak tiga kali bagi memastikan tiada lagi kuman di bahagian saraf tunjang dan otaknya.

Namun begitu, keputusan mendapati anaknya masih tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif dan tidak memberi respon jika dipanggil.

"Oleh itu, kami sekeluarga sepakat mencuba kaedah rawatan alternatif dengan membawanya mencuba rawatan terapi saraf di Sri Petaling sejak 26 Oktober lepas.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulilah dengan kuasa ALLAH SWT, otot mulut dan kerongkong anak saya mula bergerak dan kami mula berikan susu kepadanya melalui mulut sehingga hari ini," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kos rawatan, Delvirahafiz berkata, RM100 sehari digunakan untuk rawatan terapi tersebut dan kos untuk tempoh sebulan adalah sebanyak RM3,000.

Bagi membantu menampung kos rawatan ini, bapa kepada tujuh cahaya mata ini menjual biskut dengan jenama Cookies Kukimon di sekitar Shah Alam baGI menambah pendapatan hariannya.

"Memang berat untuk merendahkan diri bergerak menjual barang namun bila melihat wajah anak, saya jadi kuat untuk terus cari dana buat rawatannya.

"Doktor pakar pernah cakap, Del Uwais mungkin lumpuh, pekak, bisu, buta dan tidak waras. Namun kita harus usaha selagi mampu kerana semua penyakit ada penawarnya kecuali maut," katanya.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ingin menyampaikan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank : 162151651632 (Delvirahafiz Masnel) atau berhubung terus dengannya di talian 019-611 5893.