AirAsia sambung semula operasi domestik mulai 29 April

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - AirAsia Group Bhd akan menyambung semula penerbangan domestiknya yang dijadualkan mulai 29 April ini sebelum diperluaskan ke destinasi antarabangsa bergantung kepada kelulusan kerajaan.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini berkata, penerbangan antarabangsa ke Thailand dan Filipina dijadual bermula 1 Mei manakala Indonesia pada 7 Mei.

“Penyambungan semula perkhidmatan ini adalah untuk beberapa laluan domestik terpilih manakala penerbangan ke destinasi antarabangsa akan disambung semula secara berperingkat apabila keadaan bertambah baik dan sehingga kerajaan menarik semula sekatan perjalanan.

"Penerbangan telah sedia untuk ditempah di laman web airasia.com dan aplikasi mudah alih dan tetamu juga boleh menggunakan akaun kredit mereka untuk menebus penerbangan ini,” katanya.

AirAsia berkata, maklumat lanjut mengenai laluan lain dan jadual penerbangan akan diumumkan beberapa minggu akan datang tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Presiden AirAsia Group (Syarikat Penerbangan), Bo Lingam berkata, pihaknya mengemas kini prosedur pengendalian tetamu secara menyeluruh mulai pelepasan sehingga penerbangan berikutan pandemik Covid-19.

“Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk memastikan semua saranan langkah pencegahan dilakukan untuk memastikan perjalanan yang selamat dan selesa untuk semua,” katanya.

Beliau berkata, AirAsia bekerjasama secara aktif dengan semua pengawal selia, kerajaan, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan serta mematuhi panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan standard tertinggi dalam setiap penerbangan.

Artikel Berkaitan:

Penumpang dinasihatkan mengamalkan langkah-langkah perlindungan yang disyorkan secara universal termasuk memakai topeng muka, penjarakkan sosial dan menjaga kebersihan diri.

“Semua pesawat yang dilengkapi Penapis Udara Kecekapan Tinggi (HEPA) standard hospital juga akan melalui prosedur pembasmian kuman secara menyeluruh selepas setiap penerbangan,” katanya.

Mereka dinasihatkan menyemak nasihat perjalanan di airasia.com dan platform media sosial di samping memeriksa status penerbangan di airasia.com/flightstatus untuk maklumat terkini berikutan keadaan yang sentiasa berubah pada masa ini. - Bernama