MPI tangguh Malam Wartawan Malaysia 2020

Chamil Wariya
Chamil Wariya
A
A
A

CYBERJAYA - Malam Wartawan Malaysia 2020 (MWM 2020) yang dijadualkan berlangsung pada 21 April ini telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, penangguhan dibuat kerana negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga bagi mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang tidak memungkinkan penganjuran majlis tahunan anjuran MPI itu.

Menurut beliau, sekalipun PKP ditamatkan pada 28 April 2020, MWM 2020 hanya akan diadakan selepas kerajaan membenarkan perhimpunan ramai dianjurkan iaitu untuk tempoh enam bulan hingga setahun.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan majlis tahunan yang bertujuan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas bagi tahun 2019 itu diadakan pada awal tahun hadapan.

"Saya juga akan memaklumkan penangguhan Malam Wartawan Malaysia 2020 kepada para penaja yang telah menghulurkan sumbangan masing-masing secara rasmi melalui surat selepas PKP ditamatkan nanti," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada sahabat-sahabat korporat MPI atas sokongan yang diberikan kepada MPI untuk menjayakan MWM 2020.

Beliau turut berterima kasih kepada Petronas atas tajaan wang tunai bernilai RM300,000 untuk para pemenang HKM. Petronas mula menaja HKM pada 1994.

Kepada lebih 300 orang wartawan yang menyertai HKM 2019, Chamil meminta mereka bersabar untuk mengetahui siapakah antara mereka yang akan dinobatkan sebagai pemenang.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum PKP dilaksanakan, penghakiman pusingan kedua telah diselesaikan. Jadi kita kenalah menunggu untuk tahu siapa yang akan menang bagi 20 kategori yang dipertandingkan termasuk yang bakal diangkat sebagai Pemenang Kajai yang akan membawa pulang RM30,000 serta trofi," ujarnya.

HKM diperkenalkan oleh MPI pada tahun 1980 sebagai wadah untuk mengiktiraf karya-karya yang cemerlang dalam bidang kewartawanan.