KKM teliti beberapa faktor sebelum buat keputusan tamatkan PKP

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (dua dari kanan) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (dua dari kanan) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti beberapa faktor sebelum membuat keputusan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selari dengan syarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beberapa faktor itu penting sebagai indikasi strategi keluar untuk menamatkan PKP yang mula dilaksanakan sejak 18 Mac lalu itu.

Menurutnya, antara faktor yang akan diambil kira termasuklah jumlah kes positif yang berkurangan.

"Jadi kalau kita lihat unjuran kita pada 14 April sepatutnya kita ramalkan ada kes 2,033 (tetapi jumlah yang direkodkan adalah 2,198), mungkin kita lari daripada 150 kes tetapi kes ini, kes yg masih dirawat kes positif, bermakna kes ini boleh menjangkiti atau kebolehjangkitan itu ada.

"Oleh itu, apa yang penting sebelum kita melihat kepada penamatan PKP kita mesti ada strategi keluar dan antara indikasi kita ialah pengurangan kes yang masih dirawat itu kebolehjangkitan kes," katanya pada sidang akhbar di KKM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, selain itu, faktor lain yang akan yang diambil kira adalah dengan melihat kepada jumlah kes Influenza Like Ilness (ILI) Severe Acute Respiratory Infection (SARI).

Katanya, ketika ini terdapat sebanyak 114 kes tersebut direkodkan di negara ini.

"Kalau kita ada lihat dalam saringan kita atau pun pemantauan kita, kes SARI semakin berkurangan jadi mungkin itu salah satu indikasi yang lain untuk kita menasihatkan kepada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) untuk tamatkan PKP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, KKM juga akan melihat kepada dua isu utama iaitu keupayaan makmal untuk menjalankan pengesanan kes dan keupayaan hospital bagi menampung jumlah pesakit pandemik itu.

Semalam, (WHO) menggariskan enam syarat kepada negara-negara yang masih merekodkan jangkitan Covid-19 sekiranya mahu menamatkan perintah berkurung ataupun PKP.

Antaranya penyebaran penyakit terkawal, sistem kesihatan dapat mengesan, menguji, mengasingkan dan merawat setiap kes dan mengesan setiap kontak, risiko zon merah diminimumkan, sekolah, tempat kerja dan tempat-tempat penting lain telah menetapkan langkah pencegahan.

Selain itu, risiko kes import dapat diatasi, masyarakat dididik sepenuhnya tentang Covid-19, terlibat sama dan diberi kuasa untuk hidup di bawah keadaan normal.