X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang belum perlu laksana PKPD

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN- Setakat ini masih belum ada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mana-mana lokaliti di Pulau Pinang kerana kes wabak koronavirus (Covid-19) masih terkawal iaitu jumlah kes sebanyak 119 dengan satu kematian dicatatkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dengan rekod tersebut, Pulau Pinang belum perlu melaksanakan PKPD dan situasi terkini kes Covid-19 sentiasa dikawal serta dipantau rapi oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.

"Sehingga semalam, Pulau Pinang mencatatkan 119 kes yang mana kadar kematian masih kekal satu kes. Kita bersyukur kerana jumlah kes di negeri ini boleh dikatakan rendah berbanding negeri-negeri lain.

"Ia adalah hasil usaha gigih tanpa putus asa dari semua petugas barisan hadapan untuk memastikan Covid-19 dapat dibendung.

"Oleh itu, Pulau Pinang belum melaksanakan PKPD di mana-mana lokaliti. Ini hasil kerjasama semua pihak termasuk barisan hadapan selain pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh semua masyarakat," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang, di sini tadi.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sedang merangka Strategi 'Next Normal' Pulau Pinang bagi memulihkan keadaan seperti sedia kala.

"Dalam usaha ini, kerajaan negeri akan mengambil pendekatan yang seimbang antara nyawa dan kehidupan iaitu memfokuskan isu kesihatan awam dan kesejahteraan ekonomi.

"Realitinya, dunia mungkin mengalami kelembapan ekonomi. Semua sektor ekonomi akan terjejas diikuti dengan pelbagai masalah sosial.

"Namun, kerajaan negeri berikrar akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini. Dari semasa ke semasa, Kerajaan Negeri akan melihat kesan Covid-19 ini secara menyeluruh pada setiap lapisan masyarakat dan juga setiap sektor ekonomi," katanya.

Beliau berkata, Strategi 'Next Normal' Pulau Pinang mengandungi tiga misi utama iaitu mengukuhkan ekosistem di Pulau Pinang, menyelaraskan ekosistem tersebut kepada perubahan abad ke-21 dan membina ketahanan untuk menghadapi sebarang kemungkinan krisis pada masa hadapan.

"Strategi ini akan melihat kepada pembaharuan daripada aspek institusi, ekonomi serta sosial di Pulau Pinang. Malah, kita sudah boleh melihat contoh anjakan ini dalam operasi serta pendekatan kerajaan negeri pada minggu ini iaitu pelancaran e-dagang.

"Kerajaan negeri juga telah mengarahkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan InvestPenang untuk melibatkan industri pembuatan di Pulau Pinang bagi menilai kemungkinan mengubah kapasiti pengeluaran mereka untuk membantu menghadapi krisis Covid-19," katanya.

Tambahnya, berdasarkan kekuatan semasa Pulau Pinang sebagai hub pembuatan global yang canggih, negeri ini boleh dijadikan pusat pembuatan utama untuk bekalan perubatan 'semasa perang Covid-19'.

"Antara yang boleh dihasilkan adalah penutup muka (topeng muka), peralatan pelindung diri (PPE), ventilator, pensanitasi tangan dan barangan lain yang diperlukan. Pulau Pinang mahu membantu barisan hadapan (kesihatan) di seluruh Malaysia dalam usaha melawan Covid-19.

"Selain, dengan kekuatan sebagai pusat makanan, hasil pertanian dan perikanan, Pulau Pinang akan bekerja keras dalam menyediakan lebih banyak makanan serta makanan olahan untuk semua rakyat Malaysia dalam pertarungan jangka masa panjang ini.

"Kita berharap kerajaan Persekutuan turut sama berkongsi visi ini dan melihat nilai-nilai yang dimiliki Pulau Pinang untuk membantu negara," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus