Covid-19: Sekali lagi kes baharu terendah, KKM rekod 69 kes

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Selepas 85 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan minggu lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi merekodkan jumlah terendah dengan 69 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 5,251 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif adalah 2,198 kes.

"Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga kini, seramai 51 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, terdapat 201 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 2,967 kes iaitu 56.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Justeru, bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah hampir tiga kali ganda bilangan kes baharu yang dilaporkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, terdapat dua kematian baharu dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan.

"Ia melibatkan dua lelaki berusia 85 tahun masing-masing yang mempunyai penyakit kronik.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kematian 86 kes iaitu 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya.