Ditahan kerana berarak, enggan bersurai ketika majlis pengebumian

Antara yang ditahan kerana dipercayai melakukan perarakan ketika majlis pengebumian di Kapar, Klang semalam.
Antara yang ditahan kerana dipercayai melakukan perarakan ketika majlis pengebumian di Kapar, Klang semalam.
A
A
A

KLANG - Polis menahan seramai 26 individu kerana berdegil untuk bersurai sebaliknya terus melakukan perarakan ketika upacara pengebumian di Taman Intan, Kapar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, maklumat berhubung upacara tersebut yang melibatkan kira-kira 50 orang diterima pihaknya kira-kira jam 2 petang.

"Pihak polis yang sampai di lokasi telah memberikan beberapa kali amaran supaya bersurai dan tidak berarak, tetapi terdapat beberapa orang yang masih berdegil.

"Bertindak di atas pengingkaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk bersurai, tangkapan dibuat ke atas seramai 26 individu berusia lingkungan 20 hingga 30-an di sekitar lokasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dipercayai mereka yang hadir di upacara tersebut adalah rakan-rakan si mati.

Katanya, mereka direman selama empat hari sehingga Isnin depan untuk tindakan lanjut.

"Selain itu, keesokan hari bapa si mati juga telah ditangkap di bawah Akta Pertubuhan 1966 kerana menganjurkan majlis yang mempunyai unsur-unsur gangsterism," katanya.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Artikel Berkaitan:

"Polis menegaskan kepada orang ramai supaya mematuhi arahan PKP yang telah memasuki fasa ketiga. Bagi upacara kematian, hanya boleh dihadiri oleh ahli keluarga terdekat," katanya.