Bos dadah diberkas bersama sepupu

R Sundralingam (tengah) menunjukkan bungkusan dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan sekitar Lembah Klang Rabu lalu.
R Sundralingam (tengah) menunjukkan bungkusan dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan sekitar Lembah Klang Rabu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM- Seorang pengedar dadah berusia 42 tahun yang aktif sejak setahun lalu ditahan polis bersama sepupunya dalam serbuan berasingan, pada Rabu lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, susulan tangkapan ke atas lelaki itu, polis berjaya pula menahan seorang remaja berusia 14 tahun dan wanita berusia 24 tahun yang dipercayai sepupu kepada suspek pada malam sama kira-kira jam 9 malam.

Beliau berkata, serbuan dibuat di sebuah rumah teres dua tingkat di Wangsa Melawati, dekat sini yang dipercayai dijadikan tempat untuk menyimpan dadah.

"Melalui pemeriksaan dilakukan terhadap lelaki itu, polis merampas kereta Honda Jazz dipandu suspek bersama dadah yang diletakkan dalam bungkusan di tempat letak kaki di bahagian pemandu.

"Polis merampas satu beg plastik putih berisi tiga paket bungkusan lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 410 gram bernilai lebih RM20,000," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Sundralingam berkata, secara keseluruhan lima serbuan berasingan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur telah dilakukan polis pada Rabu lalu dan susulan tangkapan itu pihaknya berjaya menyelesaikan kes pengedaran dadah yang dipercayai mendapatkan bekalan dadah di sekitar Pantai Timur yang aktif di Lembah Klang.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, tangkapan melibatkan pengedar dadah berusia 42 tahun itu sebenarnya berjaya dilakukan susulan tangkapan pertama, kedua dan ketiga yang melibatkan empat tangkapan terdahulu iaitu tangkapan pertama, melibatkan dua lelaki di bandar Kinrara, Puchong.

"Penahanan itu membawa kepada rampasan 120.9 gram dadah manakala dua tangkapan lagi melibatkan dua lelaki di Bandar Kinrara Puchong dengan rampasan 537 pil disyaki ekstasi anggaran 366.09 dan syabu seberat 151.97 gram.

Sundralingam berkata, hasil serbuan itu, polis menyita dua kenderaan termasuk Toyota Hilux dan Honda Accord serta wang tunai yang mana keseluruhan nilai sitaan itu berjumlah RM 205,861, manakala hasil rampasan keseluruhan dadah bagi kelima-lima kes berkenaan, bernilai RM 743,400.

Menurut beliau, melalui analisa kadar penggunaan dadah jenis syabu yang dirampas itu dengan berat 14.33 kilogram, boleh dibekalkan kepada 28,666 orang pengguna dalam sehari jika pengguna ambil dadah 0.5 gram sehari.

"Manakala bagi pil ekstasi yang berjumlah 71,630 biji boleh dibekalkan kepada 71,630 dalam sehari jika individu itu ambil sebiji sehari.

Artikel Berkaitan:

"Ketujuh-tujuh suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)," katanya.